MELAKA: Pemain nombor dua remaja wanita negara, Audrey Teng Wen Si menepati ramalan apabila mudah melayakkan diri ke separuh akhir pada Kejohanan Antarabangsa Persekutuan Tenis Asia (ATF) Bawah 14 Tahun di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini, hari ini.
Audrey selaku pilihan pertama kejohanan bagi kategori wanita mudah mengetepikan cabaran pemain Korea, Hwang Bitna menerusi kemenangan straight set 6-0, 6-0 pada saingan suku akhir.
Dia mengambil masa satu jam tujuh minit dengan menampilkan aksi memberangsangkan tanpa tercicir sebarang set untuk mencatat kemenangan mudah ke atas pemain Korea tersebut.
“Saya puas hati dengan aksi hari ini walaupun tidak diberikan tentangan sengit tetapi sudah cukup lega untuk mara ke separuh akhir esok,” katanya ketika ditemui.
Audrey yang menduduki kedudukan ke-32 Jelajah Tenis Junior ATF dijadual bertemu seorang lagi pemain Korea, Lim YongKyung di separuh akhir esok, selepas YongKyung mengejutkan pilihan keempat dari Singapura, Hannah Tay, 6-4 dan 6-2. – UTUSAN