ASEAN tegas pertahan prinsip ZOPFAN, tolak campur tangan luar

ASEAN tegas pertahan prinsip ZOPFAN, tolak campur tangan luar

JOHARI Abdul (tengah) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri), Presiden Filipina, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr. (dua dari kanan) ketika hadir ke ‘ASEAN-AIPA Leader’s Interface with Representatives of ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA)’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kestabilan dan keamanan rantau ini dengan mengekalkan prinsip Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN), meskipun berdepan cabaran geopolitik global yang semakin rumit.

Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Johari Abdul berkata, rantau ini mesti kekal bebas daripada pengaruh kuasa besar luar, selain mengamalkan penyelesaian secara damai terhadap sebarang pertikaian dalaman.

“Sudah tentu sebagai negara-negara ASEAN, kita mahu pertahankan kestabilan kerana kita berada dalam zon keamanan, kebebasan dan berkecuali. Prinsip ini mesti pelihara dan pertingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sesi Interface AIPA-ASEAN Interface ke-14, di sini hari ini.

Johari yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, ASEAN perlu terus menjadi contoh kepada dunia dalam menyelesaikan konflik serantau secara kolektif tanpa campur tangan asing, berteraskan semangat saling menghormati dan kerjasama erat sesama anggota.

“Kalau ada masalah, itu masalah dalaman kita dan mesti diselesaikan secara baik. Dunia sedang memerhati.

“Di Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat (AS), pelbagai konflik sedang berlaku. Namun di Asia Tenggara, kita kekal tenang dan menjadi tumpuan pelabur kerana kita mengamalkan prinsip ZOPFAN,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pendekatan ‘cara Asia’ yang berhemah dan berdisiplin terbukti berkesan dalam mengekalkan keharmonian serta mencerminkan kematangan ASEAN dalam mengurus perbezaan pendapat.

“Kita tidak berkonflik secara terbuka. Kita duduk dan berbincang. Walaupun kita menghadapi isu seperti di Myanmar, kita sedang berusaha untuk mendekati kepimpinan negara itu secara berperingkat,” katanya.

Tambah beliau, AIPA menyokong penuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara oleh ASEAN dan menggesa semua kerajaan anggota memainkan peranan lebih aktif dalam menjayakan pelan damai Myanmar.

Pada masa sama, Johari berkata, ASEAN turut mengambil tanggungjawab moral untuk menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan global termasuk situasi di Ukraine dan Gaza.

“Di Gaza, kita menyeru agar gencatan senjata diteruskan dan bantuan kemanusiaan tidak disekat. Apa yang berlaku di sana adalah sesuatu yang sangat menyedihkan, satu bentuk genosid yang berterusan,” tegasnya.

Beliau berkata, usaha diplomasi ASEAN telah menerima maklum balas positif daripada beberapa pihak terlibat, sekali gus membuka ruang ke arah penyelesaian jangka panjang.

“ASEAN mengambil langkah untuk berjumpa semua pihak yang terlibat bagi memahami keperluan dan kehendak mereka. Kita harap satu persefahaman dapat dicapai tanpa campur tangan kuasa luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN