ASEAN sokong keahlian penuh Timor Leste, lulus Wawasan Komuniti 2045 - Utusan Malaysia

ASEAN sokong keahlian penuh Timor Leste, lulus Wawasan Komuniti 2045

KUALA LUMPUR 25 Mei 2025 - Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Menteri Luar Asean sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan GCC, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN terus memperkukuh kesepaduan serantau dengan menyatakan komitmen berterusan terhadap proses keahlian penuh Timor Leste serta meluluskan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 sebagai pencapaian utama Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-36 hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat yang dipengerusikannya itu sebagai persediaan terakhir menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung esok.

Katanya, mesyuarat tersebut menjadi platform penting bagi menilai kemajuan pelaksanaan Wawasan ASEAN 2025 serta menyelaras keutamaan bersama ke arah pelaksanaan “ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama”.

Justeru, katanya, agenda utama mesyuarat ialah meneliti perkembangan terkini proses keahlian penuh Timor Leste. 

“ASEAN mengambil maklum usaha yang sedang dilaksanakan oleh negara itu dalam memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan menerusi Pelan Tindakan Keanggotaan Penuh.

“Mesyuarat turut menyatakan sokongan kepada kemajuan yang dicapai oleh Timor Leste dan menekankan pentingnya sokongan berterusan ASEAN bagi mempercepatkan integrasi negara itu ke dalam Komuniti ASEAN secara menyeluruh,” katanya dalam mesyuarat ACC ke-36, di sini hari ini.

Mohamad berkata, salah satu pencapaian utama mesyuarat ialah sokongan terhadap Laporan Akhir Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Wawasan Komuniti ASEAN 2045, yang akan dikemukakan kepada para pemimpin ASEAN untuk diterima pakai semasa persidangan esok.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota, pengerusi bersama pasukan petugas serta Sekretariat ASEAN atas sumbangan mereka dalam merangka dokumen berpandangan jauh bagi membina masa depan komuniti serantau yang lebih inklusif dan berdaya saing.

Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum lima laporan substantif serta meluluskan enam laporan untuk dibentangkan kepada para pemimpin ASEAN, mencerminkan kerjasama menyeluruh dalam ketiga-tiga tonggak komuniti iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

Dokumen penting Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 dijadualkan ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin ASEAN pada 26 Mei ini, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam hala tuju masa depan rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN