KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memanfaatkan kekuatan kolektif untuk memastikan agenda pembangunan belia serantau mencapai impak diharapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penglibatan secara menyeluruh merangkumi sektor kerajaan, swasta, akademik, masyarakat awam dan belia sendiri amat penting bagi menjayakan pembangunan mampan serantau.
“Belia ASEAN bukan sekadar pemimpin masa depan. Anda adalah ejen perubahan masa kini.
“Saya menggesa anda untuk berani, inovatif dan bersatu dalam tujuan anda kerana suara anda akan didengari oleh para pemimpin ASEAN,” katanya pada Majlis Perasmian Dialog Belia ASEAN Ke-4 di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hannah berkata Malaysia yang kini merupakan Pengerusi ASEAN 2025 turut mengangkat prinsip ‘Inklusiviti dan Kemampanan’ sebagai teras pembangunan belia serantau.
Menurutnya, beberapa isu kritikal perlu diberi keutamaan termasuk pendidikan dan kemahiran digital, kesihatan mental, keusahawanan, perubahan iklim dan perpaduan melalui pertukaran budaya.
“Kita tidak akan berjaya jika bergerak secara bersendirian. Usaha ini memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, sektor swasta, institusi akademik, masyarakat sivil dan anda semua, belia ASEAN.
“Gunakan peluang ini untuk belajar, berhubung dan memimpin ke arah ASEAN yang lebih inklusif, inovatif dan mampan,” katanya.
Dialog Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu berlangsung selama enam hari dari 22 hingga 28 Mei ini dan menghimpunkan 85 pemimpin muda ASEAN bagi merangka Kenyataan Belia ASEAN untuk dibentang kepada para pemimpin rantau ini.-UTUSAN