ASEAN meterai Deklarasi Kuala Lumpur

ASEAN meterai Deklarasi Kuala Lumpur

ANWAR brahim menyerahkan dokumen Deklarasi Kuala Lumpur kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpurhari ini .- UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’ yang dimeterai hari ini, merangkumi 531 langkah strategik dalam usaha memperkukuhkan masa depan rantau ini bagi jangka masa dua dekad mendatang.

Dokumen strategik jangka panjang menggantikan pelan ‘ASEAN 2025: Forging Ahead Together’ yang dimeterai ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015, menjadi pelan hala tuju baharu ke arah membina Komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berpaksikan rakyat.

Dokumen penting itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Loas, Sonexay Siphandone; Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, Aung Kyaw Moe.

Deklarasi ditandatangani itu kemudiannya diserahkan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada sedekad lalu, di Kuala Lumpur, ASEAN telah melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2025 bagi mengukuhkan peranan rantau ini dalam kestabilan dan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, kestabilan antarabangsa semakin bergolak akibat ketegangan geopolitik, tekanan ekonomi, gangguan iklim dan teknologi yang menguji hubungan antara negara.

“Tahun-tahun mendatang akan dibentuk oleh revolusi dalam teknologi dan sains. Keupayaan kita untuk memimpin dalam kecerdasan buatan, inovasi digital serta ekonomi hijau dan biru yang akan menentukan bukan sahaja kemakmuran kita, tetapi juga kesepaduan ASEAN.

“Namun teknologi ini turut membawa risiko. Jika tidak dikawal, ia boleh memperluas jurang ketidaksamaan, menjejaskan kehidupan dan melangkaui undang-undang kita.

“Kita bukan sahaja perlu menerima inovasi malah kita juga harus belajar untuk mengurusnya bersama-sama dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur, di sini semalam.

Visi ASEAN 2045 digariskan melalui enam dokumen penting, termasuk pelan strategik untuk tiga tunjang utama komuniti ASEAN dan pelan keterhubungan serantau.

Secara keseluruhan, langkah strategik terbabit akan diterjemahkan kepada pelaksanaan program konkrit menerusi kerjasama badan sektor ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN