ASEAN 2025: Penutupan jalan berjalan lancar

ASEAN 2025: Penutupan jalan berjalan lancar

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penutupan beberapa laluan di sekitar Lembah Klang sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berjalan lancar, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pengguna jalan raya memberikan kerjasama baik kepada petugas trafik sepanjang penutupan jalan secara berperingkat.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Trafik Kuala Lumpur dan Selangor keadaan baik dan lancar serta mengikut jadual seperti dalam perancangan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Kami berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan kerjasama dan yang mengambil cakna tentang penutupan jalan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusri berkata, setakat ini jumlah laluan ditutup membabitkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama.
Menurutnya, penutupan jalan hanya dilakukan secara berkala mengikut masa-masa tertentu bagi memudahkan pergerakan delegasi ASEAN.

“Orang ramai diminta supaya merancang perjalanan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dijalankan bagi mengelakkan kesesakan.

“Jadi bagi mereka yang ada urusan rasmi atau urusan peribadi, saya nasihat supaya rancang perjalanan atau tangguhkan program yang diaturkan kepada tarikh lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dan maklumat penutupan jalan boleh diperoleh menerusi media sosial JSPT dan PDRM,”katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung selama enam hari di Pusat Konvensyen KLCC, di sini, bermula hari ini sehingga 28 Mei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN