ASEAN 2025: Kawalan keselamatan penginapan, persidangan dipertingkat

ASEAN 2025: Kawalan keselamatan penginapan, persidangan dipertingkat

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan termasuk lokasi persidangan, lawatan dan hotel penginapan orang kenamaan (VIP) dan delegasi antarabangsa pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini.

Pemantauan sama turut dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sepanjang laluan tiba dan berlepas kesemua terlibat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, semua jentera PDRM telah melaksanakan peranan masing-masing dengan mengadakan latihan dan raptai sebelum berlangsungnya persidangan itu.

“Ini bagi memastikan semua petugas mahir untuk melaksanakan peranan masing-masing dengan cekap dan kemas. Pegawai-pegawai yang terlatih juga ditugaskan mengawal rapat keselamatan VIP.

“Jadi sebagai rumusan, keseluruhan kawalan keselamatan persidangan adalah terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dijadualkan berlangsung hari ini sebagai pembuka tirai sebelum Mesyuarat Peringkat Menteri yang akan berlangsung pada 25 Mei, diikuti Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan ASEAN bermula 26 Mei ini.

Persidangan tersebut menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan pelbagai isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi.

Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari lalu daripada Laos dengan tema Keterangkuman dan Kemampanan, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN