APC PDRM dinilai berdasarkan MyPerformance

APC PDRM dinilai berdasarkan MyPerformance

RAZARUDIN Husain ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024 di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun ini mengambil kira penilaian MyPerformance yang mencapai markah 90 peratus dan ke atas. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia turut membabitkan rekod kehadiran, kekerapan cuti sakit serta penglibatan luar daripada tugas rasmi.

Katanya, beliau yakin menerusi kriteria-kriteria yang ditetapkan akan membantu warga PDRM untuk terus melipatgandakan usaha agar lebih proaktif dan berdaya saing.

“Ini bagi memberi perkhidmatan yang berkualiti bagi memenuhi ekspektasi negara dan masyarakat.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Lantaran itu, untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan, ia perlu diiringi dengan usaha dan tekad yang jitu.

“Sesungguhnya, warga kerja yang kompeten, unggul dan berdedikasi adalah sumber kekuatan utama pasukan keramat ini,” katanya dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024 di Bukit Aman, pagi ini.

Menurutnya, semangat itu wajar terus disemai dalam kalangan anggota, sejajar hasrat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan ke arah budaya kerja berprestasi tinggi dan berinovasi.

“APC bukan sahaja diambil kira dalam proses kemajuan kerjaya dan pemberian Darjah Kebesaran, Bintang serta Pingat Persekutuan atau Negeri, bahkan turut mempengaruhi peluang untuk menyertai kursus dalam serta luar negara.

“Secara keseluruhan, 10,534 pegawai dan anggota menerima pengiktirafan APC tahun ini berdasarkan kuota lapan peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai yang sedang berkhidmat,” katanya. 

Ia meliputi 1,086 pegawai kanan polis, 8,486 pegawai rendah polis serta 962 pegawai awam daripada pelbagai peringkat termasuk Bukit Aman, kontinjen negeri, briged serta institusi latihan.

Razarudin turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menaja hadiah tambahan kepada penerima APC berupa sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000 setiap seorang.

Skim simpanan patuh syariah itu disifatkan sebagai instrumen tabungan awal pendidikan anak-anak, selain memberi pelepasan cukai sehingga RM8,000 serta perlindungan takaful percuma untuk simpanan RM1,000 ke atas.

“Penerima manfaat daripada keluarga berpendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM4,000 juga layak menerima Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga, sekiranya mendaftar masuk ke institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin turut menghargai sumbangan PTPTN melebihi RM67,000 ke tabung kebajikan PDRM serta komitmen penganjur dan jawatankuasa kerja yang menjayakan penganugerahan itu sejak 2019.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya