Banyak betul perkataan atau istilah baharu yang kita dengar kebelakangan ni. Suka atau tidak kita terpaksa menerimanya sebagai kosa kata bahasa Melayu.
Ada yang berpendapat istilah baharu yang diperkenalkan secara rasmi atau tidak rasmi itu sebagai pencemaran.
Bersetuju atau tidak , itulah perkembangan bahasa sesuai dengan kemajuan sesuatu bangsa.
Salah satu elemen penting dalam menilai perkembangan tamadun adalah bahasa selain budaya, cara hidup dan teknologi.
Maka perkembangan bahasa juga menunjukkan tamadun sesuatu bangsa justeru ada yang bersetuju apabila bangsa tertentu berkembang, bahasanya juga bergerak selaras itu.
Ada dua senario perkembangan bahasa yang kita perhatian berlaku di negara kita. Satu daripadanya ialah kemunculan semula istilah-istilah baharu yang sebenarnya ada dalam kosa kata bahasa Melayu tetapi kerana jarang digunakan, maka dianggap baharu dan asing.
Daripada mana datangnya istilah ini? Itu soalan yang timbul.
Sejak 10 tahun lepas kita diperkenalkan dengan beberapa perkataan yang jarang didengar tetapi kini muncul semula seperti merudum yang bermakna jatuh atau merosot teruk.
Tidak lama kemudian, kita diperkenalkan semua dengan perkataan wewenang atau pihak berkuasa dan twikirama serta ketimbang.
Twikirama ialah sebuah istilah dalam sastera Indonesia yang merupakan gabungan daripada dua kata, iaitu “twit” (dari Twitter) dan “drama”.
Peluncuran bermaksud pelancaran juga dikatakan daripada bahasa Indonesia
Perkataan ini bukan baharu.
Itu belum lagi penggunaan istilah Arab yang sudah sebati dalam masyarakat. Iftar, bazar, magfirah sakinah dan mawaddah yang sudah ibarat kota kata bahasa Melayu yang berasal daripada perkataan Arab.
Bekas Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP Dr. Rusmadi Baharudin yang pernah saya temui dalam satu majlis memberitahu, kita tidak perlu gusar dengan penambahan istilah asing menjadi kosa kata bahasa Melayu kerana sudah menjadi kelaziman kepada mana-mana bahasa di dunia meminjam atau menyerap istilah bahasa asing untuk disesuaikan dengan sistem bahasa mereka.
Malah bahasa Inggeris yang dikatakan ‘antarabangsa’ dan akademik juga meminjam bahasa asing.
Beliau memberitahu, bukan sahaja perkataan “lepak” , malah “sambal” pun sudah dimasukkan dalam Kamus Oxford, sebuah kamus yang dihasilkan dalam tempoh 50 tahun.
“Mungkin juga ramai tidak perasan, bahasa Jepun juga meminjam istilah asing tetapi kita tidak mengetahuinya kerana tidak ‘ambil port’ bahasa berkenaan.
Saya tidak ralat sangat dengan kata-kata pinjaman atau istilah asing yang diserapkan dalam perbendaharaan bahasa Melayu selagi tidak merosakkan atau diguna sebarangan ikut sedap mulut.
Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari memberitahu berdasarkan rekod buku terbit dan dalam talian serta istilah semasa sebanyak 910, 774 istilah ada dalam bahasa Melayu setakat Julai tahun lalu.
“Banyak data-data istilah lama belum dimasukkan dalam pangkalan data,” ujar beliau sambil memberitahu bahasa Melayu kini dituturkan lebih kurang 300 juta orang yang saya percaya kebanyakannya warga rantau Asia Tenggara.
Kamus Dewan Perdana, sebuah produk terkini DBP yang dihasilkan daripada projek Mega Berimpak Tinggi sekarang sedang dipromosikan.
Senario kedua yang juga bertitik tolak daripada isu masalah bahasa adalah kepesatan teknologi maklumat dan digital yang seakan meracuni golongan muda atau Generasi Z.
Kita sudah ada dunia komunikasi baharu di alam maya yang tidak ada had, tidak ada halangan dan tempoh masa, hanya gunakan hujung jari dan katalah apa sahaja tanpa orang lain mengetahui termasuk siapa yang kita perkatakan.
Keadaan ini berlaku kerana pengaruh media sosial keterlaluan dan bersembang tanpa peraturan
Cuba perhatian begini :
A: “Ko katner skrng?
B : “Aq kat saner, naper?
A : JAngAn luper $4mp41 nanti bagitau aQ.
B: Aq p3n1n9 nie…
Tiba tiba ada yang menyampuk dalam perbualan tu.
C: Kowrang dah katner.
D: Gua baru nak gerak bro, pEtang wEAll $4mpai.
A : Ala..lambet lagi….
Carilah apa maksudnya perbualan itu.
Perbualan sedemikian ada dalam kalangan orang muda pencandu telefon bimbit dan media sosial yang tidak mungkin membabitkan golongan berusia atau otai (old timer) memahaminya.
Golongan otai ini bukanlah hamba peranti pintar, malah perbualan mereka sedikit lain bunyinya.
X : Mi..datang ya hari nikah aku nanti.
Y : ohh dengan siapa ya
X : Minah, dia mambang aku, buah hati aku dulu
Y: oh belahan jiwa pengarang jantung dulu.
Demikian berbezanya dunia perbualan dua golongan otai itu. Dengan penggunaan media sosial, cara kita berbual juga berlaku kelainan antara otai dan Gen Z.
Gen Z membawa satu transformasi yang ringkas mudah tetapi dipengaruhi oleh ‘tata bahasa’ media sosial, budaya popular dan trend semasa.
Kita perlu menerimanya sebagai trend baharu meskipun mungkin satu evolusi bahasa atau kemerosotan dalam penggunaan bahasa.
Jangan salahkan golongan Gen Z ini yang membesar dengan teknologi dan peranti sentiasa di tangan. Mereka akan menggunakan istilah baharu seperti “ribu” menjadi “riban”, “cantik” menjadi “cun”.
Guru bahasa mereka banyak dan pelbagai, berguru secara percuma di platform media sosial seperti WhatsApp, TikTok, Twitter, dan Instagram.
Maka muncullah vibes,dan “OMG” (Oh My God) ”LOL” (laugh out loud), “BRB” (be right back), OTW (On the way) dan BTW (By the way) yang semakin kerap digunakan dalam perbualan harian.
Golongan warga maya atau netizen sudah menjadi dunia baharu dan mereka ada bahasa tersendiri yang unik dan bunyinya canggung.
Kita berharap istilah akronim hanya digunakan dalam perbualan santai bukan dalam surat rasmi atau menulis karangan
Kamus Dewan Perdana DBP yang dilancarkan baru-baru ini pun tidak dapat menampung semua kosa kata yang disebutkan tadi kerana hanya 120,000 entri sahaja yang ada. Pinjam sahajalah selagi boleh istilah itu sebab kita pun sudah banyak meminjam.
Perkataan “almari” dan “sepatu” itu pun berasal daripada bahasa Sepanyol.
Kita hanya ada kereta lereng (basikal) dan tetuang udara (radio). Akhir akhir ini ada pula yang mempertikaikan apa itu merarau, aramaiti yang datang daripada Sabah.
Apa hal dengan tapau?
Masih banyak lagi yang belum tahu apa itu maksud “sungkai”, “ampai- ampai” dan “lugai lugai”. Begitu juga “kulaan”, “aga kareba” dan “ngombe”. Ini satu tutorial kepada mereka yang berminat hendak tahu maksudnya. Ada bran (berani)? – UTUSAN










