PETALING JAYA: Malaysia menjemput Presiden Russia, Vladimir Putin untuk mengunjungi negara ini dalam masa terdekat atau sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan jemputan itu secara terus kepada Putin dalam Mesyuarat Dua Hala antara Malaysia dengan Russia di Kremlin, semalam.
Beliau berkata, kehadiran Putin akan menjadi pemangkin penting ke arah hubungan dua hala dan kerjasama serantau lebih utuh.
“Saya turut nyatakan pendirian konsisten Malaysia dan ASEAN dalam mendepani isu geopolitik, yakni menolak tindakan unilateral dan berpegang pada kepusatan ASEAN. Prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan penyelesaian secara aman adalah asas utama dalam dasar luar Malaysia dan negara serantau.
“Saya nyatakan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan yang berprinsip dalam kerangka multilateralisme. ASEAN dan negara-negara selatan global perlu diberi ruang untuk menentukan hala tuju sendiri, tanpa dipaksa untuk memihak dalam persaingan kuasa besar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di platform Facebook sebagai rumusan perbincangannya dengan Putin dalam lawatan rasmi ke Russia sejak Selasa lalu.
Anwar berkata, pertemuannya dengan Putin berlangsung dalam suasana cukup bermakna membabitkan dua negara yang terus mencari titik temu demi masa depan lebih aman dan makmur.
Katanya, beliau menyuarakan penghargaan atas layanan yang sangat baik sepanjang lawatan itu.
“Russia bukan sekadar sebuah kuasa besar, tetapi sebuah peradaban yang kaya dengan sejarah perjuangan, budaya, sastera dan seni. Kekaguman saya terhadap Russia lahir bukan hanya daripada hubungan diplomatik tetapi daripada pemahaman terhadap ketabahan rakyatnya,” katanya.
Anwar berkata, perbincangan menyeluruh dilaksanakan dalam meneroka kerjasama pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, tenaga, teknologi digital, pertahanan dan keselamatan siber.
“Malaysia menyambut baik usaha memperluas dagangan dua hala serta menarik pelaburan baharu dari Russia, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
“Saya turut mengangkat potensi besar hubungan antara rakyat termasuk pertukaran pelajar, biasiswa, pengembangan program pengajian Melayu serta kerjasama pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan sains teknologi,” katanya.
Sebagai usaha memperkukuh keterhubungan, tambah Perdana Menteri, Malaysia mahu syarikat penerbangan Russia termasuk Aeroflot menyambung semula laluan terus ke negara ini segera mungkin bagi merancakkan pelancongan dan pertukaran budaya. – UTUSAN