PETALING JAYA: Perdana Menteri tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula hari ini di Russia dengan diberi kawalan kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di Facebook berkata, beliau akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Russia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Russia, Mikhail Mishutin dalam lawatan rasmi berkenaan.
“Pertemuan dengan kedua-dua pemimpin ini bagi memperkukuh persahabatan Malaysia dan Russia serta merintis kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik,” katanya semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri menerima sambutan kehormatan sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan pada pukul 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).
Selain itu, Anwar dijangka bertemu beberapa pemimpin industri utama Russia untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia.
Disamping itu, beliau Anwar dijadual menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan Kazan Forum di Kazan.
Sebagai rekod, Anwar adalah Perdana Menteri pertama Malaysia yang diberikan sambutan seumpama itu selepas hampir dua dekad.
Sebelum ini, Perdana Menteri kelima iaitu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima sambutan serupa semasa mengadakan lawatan rasmi ke Russia pada 2007.
Ketibaan Anwar disambut Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai dan Timbalan Menteri Luar Russia, Andrey Rudenko.-UTUSAN