PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Singapura esok bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22 anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS).
Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, jemputan itu sebagai pengiktirafan terhadap Malaysia bagi kejayaan Kepengerusian ASEAN terutama dalam memelihara keamanan dan keselamatan di rantau itu.
Katanya, lawatan itu turut menjangkakan pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bagi menilai perkembangan hubungan dua hala kedua-dua negara selain kunjungan hormat kepada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu-isu global yang berkepentingan bersama.
“Sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama yang kukuh dan merangkumi pelbagai bidang.
“Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.
Pada tahun 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan yang terbesar dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN.
Perdagangan dua hala itu meningkat sebanyak 8.9 peratus iaitu RM396.22 bilion (USD86.69 bilion), merangkumi 13.8 peratus daripada jumlah dagangan keseluruhan Malaysia.
Eksport Malaysia ke Singapura bernilai RM230.86 bilion (USD50.53 bilion), manakala import dari Singapura ke Malaysia bernilai RM143.73 bilion (USD31.45 bilion).-UTUSAN