PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama 24 pemain industri utama Russia.
Beliau berkata, mereka mewakili sektor strategik seperti makanan dan pertanian, peruncitan dan logistik, minyak dan gas, kewangan, perabot, kimia, bahan binaan serta pengurusan sisa.
Katanya, sesi tersebut menjadi landasan penting untuk meneroka peluang pelaburan dan perdagangan berimpak tinggi yang bukan sahaja menguntungkan kedua-dua negara, tetapi turut membuka ruang baharu kepada perusahaan, inovasi serta pembangunan yang lebih inklusif.
“Kami berdiskusi secara terbuka dan bermakna mengenai potensi kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih luas serta mampan antara Malaysia dan Russia.
“Saya percaya dialog seperti ini akan terus memangkin daya saing Malaysia dalam ekonomi global yang semakin mencabar dengan berteraskan nilai Madani yang menekankan keterbukaan, hormat dan tanggungjawab bersama dalam merangka masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.
Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara di tengah-tengah perubahan arus geopolitik global.
Ia adalah lawatan kali kedua Perdana Menteri ke negara itu dalam tempoh lapan bulan atas jemputan Presiden Vladimir Putin.
Dalam lawatan itu, delegasi Malaysia turut dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Putin di Kremlin, menumpukan agenda seperti perdagangan, pendidikan, teknologi dan perluasan kerjasama dengan dunia Islam.
Dalam pada itu, Anwar berkata, mesyuarat tersebut bukan sahaja memberi ruang ke arah memperkukuhkan kerjasama antara dua negara sebaliknya turut memberi peluang kepada beliau menghayati warisan sastera Russia.
“Mesyuarat ini diadakan di Hotel Metropol, sebuah mercu lagenda di Moscow yang bukan sahaja menyaksikan pelbagai detik bersejarah sejak era Tsar, malah pernah menjadi medan pertemuan tokoh-tokoh besar dunia.
“Saya tertarik melihat bagaimana warisan sastera Russia diabadikan dengan bilik-bilik yang dinamakan sempena tokoh seperti Tolstoy, Turgenev dan Chekhov.
“Potret mereka turut menghiasi dinding-dinding bilik, yang mengingatkan kita bahawa kemajuan material harus berpaksikan pada jiwa, budaya dan kemanusiaan,” jelasnya.