Aniq Suhair tinggalkan beban kontroversi - Utusan Malaysia

Aniq Suhair tinggalkan beban kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon berpotensi, Aniq Suhair, akhirnya membuka mulut selepas lebih setahun menyepi dari dunia seni.

Namanya yang pernah hangat diperkatakan suatu ketika dahulu lantaran terpalit dengan pelbagai kontroversi panas yang menjadikan namanya sedikit sebanyak tercalar hingga memaksa dirinya untuk berdiam diri dari radar seni.

Peluang bertemu dengan Aniq baru-baru ini, membolehkan Hits melayangkan beberapa pertanyaan yang telah lama terbungkam.

Terutama, mengenai keputusannya untuk tidak lagi berada dalam industri seni sebagaimana yang telah disalah ertikan oleh ramai peminat.

Merajuk? Barangkali itu kata mudah yang telah dilabel ke atas dirinya. Namun, Aniq sedar dia tidak mampu menutup mulut semua daripada melontarkan pandangan masing-masing.

Dalam nada tenang, pelakon berusia 24 tahun ini memberitahu Hits bahawa keputusan untuk ‘berehat’ daripada sebarang komitmen lakonan bukanlah dibuat secara tergesa-gesa atau berpunca daripada rasa kecewa terhadap industri.

Sebaliknya, ia adalah satu tindakan penuh kesedaran demi memelihara kesejahteraan diri yang semakin terjejas akibat tekanan dan kekangan masa yang dilaluinya sebelum ini.

“Ramai kata saya merajuk, tapi sebenarnya tidak. Saya cuma ambil masa untuk diri sendiri. Saya perlu betulkan emosi, fokus pada pelajaran, dan beri perhatian kepada beberapa perniagaan yang saya usahakan.

“Dalam masa yang sama, saya nak ‘reset’ semangat saya untuk kembali bekerja dalam suasana yang lebih sihat dan tenang,” kata Aniq.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh lebih setahun itu, dia mengambil peluang untuk berusaha mendekatkan diri kepada Tuhan serta bermuhasabah.

Jauh daripada sorotan kamera dan perhatian netizen, Aniq mengakui waktu itulah yang banyak membentuknya menjadi seorang yang lebih kuat dari aspek rohani dan mental.

“Saya banyak berfikir kenapa semua ini terjadi. Saya tanya pada diri sendiri, mungkin ini cara Tuhan nak ajar saya sesuatu.

“Dan bila saya fikir balik, saya bersyukur. Saya tenang. Saya reda. Malah saya maafkan semua orang yang pernah menyakiti saya. Mungkin mereka juga sedang berperang dengan diri sendiri,”luahnya.

Biarpun berdepan dengan persepsi yang pelbagai sepanjang tempoh ‘menghilang’, Aniq tetap teguh dengan keputusannya.

Kata Aniq, dia percaya bahawa setiap individu berhak memilih untuk berundur seketika demi memulihkan diri.

“Ramai yang tak tahu, saya masih belum habis pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan. Bila sibuk shooting, memang susah nak fokus dalam pelajaran.

“Jadi, saya putuskan untuk selesaikan apa yang tertangguh dulu. Dan Alhamdulillah, saya dah hampir habis. Insya-Allah bulan Ogos nanti saya akan graduasi,”katanya.

Dalam pada itu, kongsi Aniq, walaupun tidak aktif di set penggambaran, di masih menerima banyak tawaran lakonan. Malah hampir setiap minggu.

Namun begitu, anak muda ini memilih untuk menolak secara baik kerana merasakan dirinya belum benar-benar bersedia.

“Dalam tempoh itu, saya hanya menerima tawaran penggambaran iklan dan kempen media sosial kerana tempoh masa yang lebih fleksibel.

“Saya tak nak ambil ‘job’ hanya kerana duit atau populariti. Saya mahu pastikan bila saya kembali, saya benar-benar bersedia, dari segi emosi, masa dan tenaga.

“Sudah tentu saya rindu berlakon, rindu untuk berada si hadapan kamera, rindu suasana set. Tapi saya juga tahu bila masa yang sesuai untuk kembali,” katanya.

Kini, selepas segala badai yang dilalui, Aniq mengakui tampil dengan perspektif yang jauh lebih luas terhadap kehidupan dan hubungan sesama manusia.

Baginya, pengalaman lalu menjadi guru yang paling jujur dalam mematangkan diri, khususnya dalam menilai siapa kawan dan siapa lawan.

“Benda yang jadi sebelum ini buat saya lebih berhati-hati. Kita tak tahu apa niat sebenar orang, jadi sekarang saya lebih selesa berkawan dengan kelompok kecil yang betul-betul ikhlas dan membawa manfaat dalam hidup saya.

“Saya selesa kecilkan kelompok kawan. Saya belajar banyak tentang manusia dan tentang diri saya sendiri. Saya dah move on.

“Saya tak rasa kontroversi lama itu penting lagi. Benar, ia adalah bahagian daripada hidup saya yang dah lepas. Tapi saya ambil sebagai pengajaran untuk lebih kuat dan lebih bijak dalam masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN