Andy Teh sanggup cedera demi bina nama sebagai pelakon aksi - Utusan Malaysia

Andy Teh sanggup cedera demi bina nama sebagai pelakon aksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Andy Teh tidak kisah dirinya terdedah dengan kecederaan sewaktu melakukan aksi lagak ngeri ketika berlakon.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, kebanyakan aksi yang dilakonkan tidak menggunakan ‘body double’ sebaliknya dijayakan dirinya sendiri.

“Kebiasaannya dalam babak pergaduhan yang anda tonton dalam televisyen mahupun di pawagam, itu adalah usaha dan aksi saya sendiri.

“Saya tahu saya mungkin terdedah kepada kecederaan yang serius, tetapi itulah cara saya bina nama sebagai pelakon aksi,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Blood Brothers itu  berkongsi penghargaan terhadap pasukan lagak ngeri yang banyak membantunya menjayakan babak pergaduhan dalam episod akhir drama bersiri First Wives.

“Saya bukan pelakon lagak ngeri tetapi saya benar-benar faham pengorbanan mereka. Mereka dibayar dengan semangat dan kadang kala dengan kesakitan,” katanya.

Tambah Andy, dia yang sebelum ini memulakan kerjaya sebagai watak sampingan tidak berputus asa dan terus mengejar impiannya untuk menjadi seorang pelakon.

“Saya mula kerjaya lakonan sebagai watak sampingan tetapi saya tidak pernah berputus asa. Saya tetap meneruskan latihan,” ujarnya.

Kongsi Andy, walaupun dirinya pelakon berbangsa Cina, itu bukan alasan bagi dia tidak berjaya dalam kerjaya yang dia inginkan.

“Saya sering mengabaikan mereka yang selalu kata sukar untuk kekal bertahan sebagai pelakon aksi, lebih-lebih lagi orang Cina yang mahu masuk industri filem Melayu.

“Kata-kata itu adalah motivasi dan ternyata saya berjaya membuktikan kebolehan diri saya.

“Dengan rendah diri, saya tidak cakap itu kejayaan, tetapi saya berjaya lakukan,” katanya.

Menerusi hantaran yang sama, Andy menasihati orang ramai agar terus percaya pada diri dan jangan pernah berputus asa mengejar impian.

“Jangan biar orang tentukan apa yang anda boleh lakukan dan tidak boleh.

“Percaya pada diri, lakukan dengan penuh disiplin dan jangan sesekali mudah putus asa,” katanya.

Terdahulu, nama Andy Teh semakin dikenali ramai menerusi watak Pablo dalam filem Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.

Filem tersebut berjaya mencecah kutipan RM70 juta dalam tempoh 25 hari tayangan, turut menampilkan barisan selebriti terkenal lain seperti Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahya, Syazwan Zulkifli, Irfan Zaini dan ramai lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN