PETALING JAYA: Malaysia kekal optimis terhadap kerjasama strategik bersama syarikat teknologi global seperti Advanced Micro Devices Inc. (AMD) dalam memperkukuh ekosistem sektor semikonduktor negara untuk jangka masa panjang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu disuarakan dalam pertemuan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr. Lisa Su pagi tadi.
Menurut beliau, AMD menyambut baik pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang menekankan kepentingan negara dalam memastikan kewujudan dan jaminan rantaian bekalan global yang pelbagai.
“Dalam pertemuan ini, kami berbincang mengenai hala tuju AMD dalam mendukung NSS.
“Syarikat tersebut menyambut baik kebijakan ini yang memberi tumpuan kepada kepentingan negara khususnya dalam mewujud serta menjamin rantaian bekalan dari pelbagai negara.
“Malaysia kekal optimistik terhadap perkongsian strategik seperti ini yang berupaya meletakkan dan melonjakkan negara ke arah lebih baik dalam ekosistem sektor semikonduktor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, sejak mula bertapak di Malaysia pada 1972, AMD telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri semikonduktor tempatan dan terus menjadi antara pelabur utama sektor teknologi di negara ini.
AMD merupakan syarikat peneraju global dalam bidang pengkomputeran berprestasi tinggi dan adaptif yang membekalkan cip dan teknologi penting kepada pelbagai industri di seluruh dunia.-UTUSAN