BUTTERWORTH: Malaysia perlu mengambil peluang kepengerusiannya dalam ASEAN pada tahun ini untuk meneroka dan meluaskan pasaran industri halal ke seluruh negara anggota serantau itu yang kini memiliki lebih 600 juta penduduk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun produk halal dari Indonesia dan Thailand berjaya menembusi pasaran Malaysia, namun, produk tempatan masih berdepan cabaran untuk menembusi pasaran negara jiran disebabkan usaha pemasaran yang belum cukup kukuh.
“Beberapa negara ASEAN yang mengiktiraf logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi laluan kepada produk Malaysia, tetapi, sebahagian besar pasaran masih belum diterokai secara menyeluruh.
“Oleh kerana 600 juta (penduduk negara anggota ASEAN) merupakan satu pasaran yang relatifnya besar untuk produk-produk halal Malaysia dipasarkan, maka, pelbagai langkah sedang diambil termasuk oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk memperluas pasaran halal Malaysia di rantau ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pelancaran Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang di sini, hari ini. Yang hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata, beliau turut mencadangkan mengenai penubuhan Majlis Halal ASEAN (Halal Council for ASEAN) sebagai platform penyelarasan standard dan pengiktirafan halal di rantau ini.
“Forum Halal ASEAN akan dianjurkan pada bulan September bersempena dengan penganjuran MIHAS (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia). Jadi, pemain industri dari negara-negara ASEAN akan dijemput untuk sesi padanan perniagaan bersama pengimport produk halal kita yang berpotensi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, selain sektor makanan dan minuman (F&B), sektor-sektor lain seperti perubatan, kosmetik dan farmaseutikal juga mempunyai potensi besar dan perlu diteroka secara lebih agresif.
“Sebagai contoh, hanya terdapat satu pengeluar gelatin halal di Malaysia ketika ini dan usaha sedang digiatkan untuk mengembangkan pengeluaran gelatin halal ke pasaran ASEAN dan antarabangsa.
“Usaha ini diketuai oleh Halal Development Corporation (HDC) yang diletakkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan koordinasi bersama Matrade dan kerajaan-kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN