KOTA BHARU: Aktiviti rentas sempadan di Sungai Golok di sini menggunakan pangkalan haram merekodkan penurunan sehingga 95.5 peratus atau 55,126 orang sejak kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand diperketatkan pada 1 Disember lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sepanjang Disember hingga April tahun ini seramai 2,596 orang telah dikesan melakukan aktiviti tersebut.
“Statistik pembolosan menunjukkan penurunan ketara daripada 57,722 orang pada Julai hingga November tahun lalu kepada 2,596 orang dengan jumlah penurunan sebanyak 55,126 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, lebih RM12.7 juta pelbagai jenis dan telah dirampas oleh Polis Kelantan bermula Disember 2024 sehingga April lalu.
Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan drastik berbanding lebih RM61.6 juta atau bersamaan -79% pada Julai sehingga November tahun lalu.
“Secara kesimpulannya, kami (Polis Kelantan) berjaya mengekang pembolosan dan penyeludupan dadah melalui pangkalan haram,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.
Mohd. Yusoff berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.-UTUSAN