Aktifkan dahulu kad ATM di tanah air

Aktifkan dahulu kad ATM di tanah air

SEORANG jemaah melakukan urusan di kaunter Bank Islam TH di Abraj Al Janadriyah di Mekah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji Malaysia yang belum berlepas ke Tanah Suci disaran membuat pengaktifan kad Debit-i Visa Tabung Haji (TH) di tanah air bagi memudahkan urusan pengeluaran wang di luar negara.

Pengarah Operasi Kewangan TH, Shamsul Bahar Shamsudin berkata, setakat Selasa lalu pihak Unit Kewangan Tanah Suci menerima sebanyak 374 keseluruhan kes aduan daripada jemaah.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 55 peratus atau 207 kes melibatkan pengaktifan kad ATM bagi pengeluaran di luar negara, 15 kes kehilangan kad, manakala selebihnya adalah melibatkan kes penukaran kad, kad lama rosak, terlupa nombor pin dan lain-lain lagi.

“Kalau boleh semua jemaah yang belum berlepas ke Tanah Suci disaran mengaktifkan kad ATM Bank Islam TH untuk pengeluaran luar negara bagi memudahkan urusan mereka di sini.

“Bank Islam juga ada membuka kaunter di balai berlepas Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang untuk membantu mereka buat pengaktifan,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.

Dalam pada itu, ujarnya, pihak TH berjaya mendapatkan beberapa unit mesin pengeluaran automatik (ATM) masing-masing terletak di Abraj Al Janadriyah, Hotel Land Premium, Abraj Al Tayseer dan Rehab Al Janadriyah.

“Ini memberi kemudahan untuk para jemaah mengeluarkan wang sepanjang mereka berada di Tanah Suci.

“Mereka juga boleh mengeluarkan wang menggunakan mesin-mesin ATM yang terdapat di sekitar Mekah dan Madinah yang membawa logo Visa menggunakan kad Bank Islam TH Visa dan tiada caj pengeluaran dikenakan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kes kehilangan kad ATM di Tanah Suci, beliau berkata, kesemua 15 aduan tersebut telah digantikan dengan kadar segera.

“Sebab kehilangan itu mungkin tersalah letak atau sebagainya kita tidak bertanya lebih lanjut kerana bimbang psikologi jemaah terganggu jadi kita batalkan kad lama serta gantikan dengan yang baharu.

“Proses ini boleh dilakukan dengan pantas sebenarnya cuma jemaah terlibat perlu datang ke kaunter untuk urusan tersebut kerana prosesnya masih sama seperti biometrik dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika kehilangan berlaku semasa waktu penutupan pejabat para jemaah boleh memaklumkan maktab untuk pihak maktab hubungi Unit Kewangan TH.

“Bagi kes terpencil sebegini, para petugas akan pergi dan bantu kerana semua petugas kewangan tinggal di hotel-hotel mereka bertugas. Jadi boleh turun lif sahaja untuk selesaikan aduan jemaah.

“Nasihat kepada jemaah agar bukan sahaja perlu menjaga kad ATM mereka sebaiknya, tetapi kad-kad lain juga termasuk kad Nusuk. Kad-kad ini amat berharga di sini dan betul kita boleh ganti tetapi ia menyulitkan keadaan jemaah itu apabila perlu ke kaunter dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN