Akta TVET perlu digubal, bina ekosistem pendidikan tersusun

Akta TVET perlu digubal, bina ekosistem pendidikan tersusun

AHMAD Zahid Hamidi ketika Majlis Sesi Permukiman Setahun Selepas KEB 2024 di PICC, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan dicadang untuk menggubal Akta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar satu ekosistem pendidikan baharu yang lebih tersusun dan menyeluruh dapat dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut dikemukakan menerusi Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang berlangsung hari ini.

“Salah satu perkara utama yang saya ingin tekankan ialah penggubalan Akta TVET. Ini dicadangkan agar pendidikan TVET yang kini melibatkan lebih 12 kementerian dapat diselaraskan secara menyeluruh.

“Kita mahu melihat satu ekosistem pendidikan baharu yang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Sesi Permukiman Setahun Selepas KEB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut dicadang untuk menaik taraf Majlis TVET Negara kepada Suruhanjaya TVET.

Beliau menjelaskan, pewujudan suruhanjaya itu bukan lah sebagai entiti baharu yang memerlukan kakitangan tambahan mahu pun peruntukan baharu, tetapi sebagai badan yang mengambil alih dan menyelaras peranan Majlis TVET Negara sedia ada.

“Ini akan memudahkan pengurusan, pelaksanaan dan pemantauan TVET di seluruh negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga dijangka membentangkan pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) pada sidang Parlimen hujung tahun ini.

“Begitu juga dicadangkan supaya Pusat Data Bumiputera dan Dashboard Ekonomi Bumiputera diwujudkan dengan segera, malah saya sudah melantik Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali (Ketua Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan) untuk menjadi pengerusi kepada kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, ditanya bagaimana bidang TVET mampu menangani isu graduan terutama dalam kalangan pemegang Ijazah yang hanya mendapat gaji ‘cukup-cukup makan’ atau di bawah RM3,000 ketika ini, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kerajaan akan memperjuangkan gaji premium kepada lepasan bidang berkenaan.

“Kami (kerajaan bukan hanya mempunyai memorandum persefahaman (MoU), malah memorandum perjanjian (MoA) dengan industri, bukan bayar gaji minimum sebaliknya, gaji premiium kepada lepasan TVET,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN