KUALA LUMPUR: Penyanyi dan vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad, 34, mengakui akaun Instagramnya yang kelihatan seperti digodam baru-baru ini, hanyalah sekadar gimik promosi konsert Akim & The Majistret Rampas Kuala Lumpur.
Menurut pelantun lagu Mewangi itu, perkara tersebut sengaja dilakukan dan merupakan idea daripada pihak penganjur konsert bagi menarik perhatian orang ramai.
“Itu semua hanyalah gimik untuk Konsert Rampas Kuala Lumpur sahaja, bukan kena godam betul-betul pun.
“Idea itu pula dicadangkan oleh pihak penganjur, jadi saya dan band terima idea itu untuk promosi,” katanya.
Akim berkongsi perkara itu ketika ditemui di Sidang Media Rampas Kuala Lumpur, di sini, Rabu lalu.
Dalam pada itu, Akim turut mengakui pada awalnya dia berasa risau sekiranya gimik tersebut tidak diterima baik oleh orang ramai.
“Awal-awal saya risau juga kalau gimik ini tidak menjadi, sebab saya tak pernah buat macam ini sebelum ini dan saya pun bukan pandai sangat,” katanya.
Bagaimanapun, Akim bersyukur apabila reaksi yang diterima hanya positif dan berjaya menarik perhatian ramai.
“Syukur Alhamdulillah, tiada yang memberi kecaman. Cuma ada yang ‘menyirap’ sebab ingat saya betul-betul kena godam,” kataya.
Justeru itu, Akim mewakili kumpulannya, memohon maaf kepada mana-mana pihak serta peminatnya yang terpedaya dengan gimik tersebut.
“Saya minta maaf kalau ada yang terperdaya dengan gimik itu, saya tak sangka ada yang ambil berat bila IG saya nampak macam kena godam. Terima kasih yang ambil berat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Akim & The Majistret akan mengadakan konsert Rampas Kuala Lumpur pada 28 Jun depan, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dengan membawa hampir 25 buah lagu.-UTUSAN