Aisha Retno penyanyi fenomena generasi baharu yang dicari? - Utusan Malaysia

Aisha Retno penyanyi fenomena generasi baharu yang dicari?

KUALA LUMPUR, 29 NOVEMBER 2024 - Sesi fotografi bersama selebriti, Aisha Retno ketika pelancaran muzik video oleh kumpulan XONE berjudul 'Langgar' di A Quiet Place Karaoke Bukit Bintang di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID / PEMBERITA - HIBURAN ( UTUSAN / KOSMO )
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AISHA RETNO dikatakan sebagai wakil suara seni muzik generasi kini. Ramai mengakui bakat bermuziknya baik dari aspek nyanyian, kelincahan persembahan pentas dan penghasilan lagu untuk penyanyi lain. 

Hari ini, jenama Aisha dilihatmekar sebagai antara gerakan muzik generasi baharu yang tidak lagi meneruskan kelangsungan balada pop mellow sifatnya. Dia membawa haluan muzik sendiri dengan menggabungkan elemen bunyi tradisional Asia Tenggara, sekaligus memelihara elemen budaya tradisional muzik kontemporari. 

Dua single, Sutera dan Samudera bukti iltizamnya dalam mengetengahkan irama etnik kontemporari dan tarian muzik elektronik (EDM) dengan apa yang dianggap sebagai identiti muziknya. 

Tidak hairan mengapa pendengar menganggapnya bakal mengambil alih ‘takhta’ Noraniza Idris sebagai ‘Ratu Etnik Kreatif Malaysia’, malah dia mendapat pengiktirafan Top 10 of Asia: Personality of The Year Award 2022/23 bagi kategori Malaysia Young Music Icon serta Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (Sutera). 

Namun, sebelum dan selepas Sutera lagi, saya melihat Aisha masih ‘lemas’ dalam mengetengahkan lagu-lagu hits sebagai taruhan sengit dalam industri muzik tempatan. Setelah single demi single terbit, saya masih curiga jika Aisha penyanyi fenomena yang dicari-cari selama ini.

Rebiu menganalisis prestasi lagu Aisha dan menilai apakah benar dia membawa pengaruh besar dalam industri muzik Malaysia atau hanya menjadi igauan dalam kalangan pengikutnya?

Prestasi lagu tertingginya apabila merakam pop dan R&B bahasa Inggeris, WHUT (Wanna Hold You Tight) yang sudah mencecah lebih 80 juta pendengaran di Spotify dan sembilan juta tontonan di Youtube

Walaupun dilihat mencatat jumlah strim yang tinggi, namun kebanyakannya melalui sumbangan daripada pendengar di Indonesia, tular aplikasi Tik Tok selain sedikit tarikan di negara sendiri. 

Dalam pasaran domestik, WHUT berjaya menarik perhatian generasi Z. Namun, saya kurang yakin jika dia menarik lebih ramai pendengar generasi terdahulu yang sudah lama menyesuaikan diri dengan balada dan kuat nilai muzik Melayunya. 

WHUT kedengaran lebih barat dan mengambil vibes Ariana Grande. Terdapat ketidakseimbangan penerimaan corak muzik kerana pasaran muzik Malaysia, terutama pendengar generasi lama masih selesa dengan balada dan bahasa Melayu.

ILSM (I Love Sadness More) turut mendapat sambutan positif di Spotify dengan lebih dua juta pendengaran, namun, terdapat jurang perbezaan ketara di Youtube yang mencatat kurang daripada 250,000 tontonan dan ia bukan satu daripada produk sesuai untuk pasaran Malaysia. 

Persembahan Aisha hadir lebih baik menerusi balada Pencarianku yang menepati citarasa pendengar balada Melayu. Ia sepatutnya menjadi paksi kepada lebih banyak lagu galau Melayu Aisha pada masa hadapan. Namun, dalam tempoh tiga tahun selepas Pencarianku terbit, ia gagal mencatat sejuta pendengaran dan tontonan di Spotify dan Youtube.

Hadirnya Sutera sehingga naib juara di AJL 38 membeliakkan mata semua pihak akan kebolehan bermuzik Aisha. Komposisi muziknya lebih besar dan dinamik, namun, usaha lagu ini mencapai satu juta tontonan dan pendengaran terlalu perlahan yang mengambil masa kira-kira dua tahun. 

Boleh dikatakan, Sutera hanya panas seketika di AJL, namun, tiada kelangsungan panjang di atas jaluran muzik tempatan. 

Banyak lagu dia terbitkan masih pada tahap penerimaan yang rendah sejak kali pertama hadir dengan Mengikat Jiwa pada 2018. Ia terus berlanjutan untuk lagu selepasnya, Terima Kasih, Cinta Denganmu dan Nukilanku. Saya faham, jenamanya ketika itu masih ‘suam-suam kuku’. 

Walaupun selepas menang AJL dan hadir dengan Samudera, lagu itu hanya menyusuli hype dalam Sutera dan malangnya tidak mendapat pulangan pelaburan setimpal. Lihat di manakah lagu itu sekarang? 

Tampil pula dengan R&B dan pop jazz Terbang, menjauhkan lagi minat pendengar tempatan yang secara amnya selesa dengan balada Melayu (kecuali dan mungkin generasi Z). 

Seandainya Aisha berbangga muziknya memberi kelainan dalam pasaran tempatan, dia hakikatnya masih belum ada satu trend dan hook yang membuat pendengar ‘tidak sabar-sabar’ mendengar karya baharu dihasilkannya. 

Tidak hairan mengapa Kharisma Music membatalkan Konsert Malam Sutera Aisha Retno pada tahun lalu kerana jualan tiket perlahan, sekaligus membuktikan hooknya belum cukup melengkung untuk menarik ramai penonton menonton persembahannya. 

Sebagaimana ramai penyanyi lama mencetus fenomena pada saat awal mereka bertatih dalam bidang muzik, saya mengharapkan Aisha ada nilai begitu dengan pengaruh muziknya tersendiri. Namun, pembatalan itu sudah menjawab kepada segalanya, tidak padan dengan pengiktirafannya sebagai ikon muzik.  

Penafian: Rebiu sokong dan hargai bakat muzik Aisha Retno. Ulasan ini bertujuan membuka premis perdebatan untuk mengetengahkan produk muzik dihasilkan. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN