LANGKAWI: Airbus Helicopters (Airbus) bersedia membekalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) helikopter ketenteraan pelbagai peranan dan sistem udara tanpa penerbang (UAS) untuk memenuhi keperluan pertahanan serta keselamatan negara.
Ketua Jualan dan Pemasaran Asia Pasifik Airbus, Thomas Zeman menyatakan komitmen itu bagi memastikan ATM mendapat akses kepada pesawat yang boleh dipercayai dan mempunyai keupayaan berkualiti.
Kata beliau, landskap pertahanan Malaysia sedang berubah apabila permintaan semakin tinggi untuk operasi khas, pencarian dan penyelamatan tempur, pengangkutan taktikal dan keupayaan latihan khusus.
“Di sinilah helikopter ketenteraan pelbagai peranan Airbus yang telah terbukti dalam pertempuran amat sesuai, dengan kejayaan yang telah dibuktikan dalam operasi dan persekitaran yang mencabar,” katanya kepada pemberita semasa sesi penerangan media bersempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), di sini.
Mengenai helikopter H225M, Thomas berkata, terdapat lebih 180 unit sudah dihantar di seluruh dunia dan 40 unit kenderaan ketenteraan itu masih dalam tempahan.
“H225M kekal sebagai aset penting dalam operasi ketenteraan. Penggunaan meluas H225M membuktikan kejayaan helikopter ini sebagai pengganda kuasa yang membolehkan operasi pantas dalam semua keadaan cuaca.
“Ini adalah tambahan kepada ramai pengendali H225 yang menggunakan helikopter serba boleh ini dalam pelbagai misi awam dan para publik. Di Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengoperasikan 12 helikopter H225M.
“Ia secara konsisten menunjukkan kepelbagaian dan kebolehpercayaannya dalam pelbagai latihan ketenteraan, usaha kemanusiaan dan bantuan bencana, dengan hampir 40,000 jam penerbangan terkumpul,” jelasnya.
Beliau berkata, Airbus melihat potensi besar untuk memperluas lagi jumlah helikopter H225M dalam armada agensi keselamatan Malaysia bagi meningkatkan keberkesanan operasi.
“Seiring cabaran keselamatan yang terus berkembang, H225M kekal tidak ternilai, membolehkan tindakbalas pantas dalam misi berisiko tinggi.
“Keupayaannya yang telah terbukti dalam medan tempur, prestasi dalam semua keadaan cuaca, dan penyesuaian terhadap pelbagai misi menjadikannya sebagai pengganda kuasa yang penting, memperkukuh kedudukan pertahanan Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Thomas berkata, sebuah UAS iaitu Flexrotor mempunyai keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak serta menawarkan ketahanan sehingga 14 jam bagi misi pengawasan perisikan, pemerolehan dan pengecaman sasaran (ISTAR) dan sebagainya.
“Flexrotor telah terbukti dalam pelbagai misi, dengan 3,700 jam penerbangan dalam persekitaran ancaman tinggi dan tanpa GPS, menjadikannya aset yang ideal bagi landskap keselamatan dan pertahanan Malaysia yang sedang berubah,” katanya. – UTUSAN