KUALA LUMPUR: Malaysia meletakkan komitmen berterusan dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) dengan mengambil kira beberapa aspek penting dalam serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia membabitkan hal-hal berkaitan keselamatan makanan, perubahan iklim, transformasi digital dan pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Pada masa yang sama, suara rakyat kita, yang disuarakan melalui wakil mereka yang dipilih, mesti diambil kira dalam setiap keputusan yang membentuk rantau kita,” katanya dalam kenyataan selepas Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut berkata, peluang untuk mengetengahkan tema ‘Parlimen di Barisan Hadapan untuk Pertumbuhan Inklusif dan ASEAN yang Mampan’ adalah tepat pada masanya.
Jelasnya, ketika ASEAN melangkah ke fasa baharu dalam Pembinaan Komuniti, AIPA akan menjadi rakan utama memudahkan pencapaian aspirasi rakyat.
“Ini temasuk memacu kemajuan merentasi tiga tonggak utama dan memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan ASEAN,” katanya. – UTUSAN