KUALA LUMPUR: Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-14 (ASEAN-AIPA Interface) menyuarakan komitmen tegas untuk memperkasa penyertaan wanita dan belia dalam proses pembangunan negara dan rantau ini sebagai teras kepada kemakmuran dan kestabilan jangka panjang ASEAN.
Presidennya, Tan Sri Johari Abdul berkata, isyarat yang jelas perlu diberikan kepada semua negara anggota untuk memastikan penglibatan wanita dalam pembangunan negara dan proses membuat keputusan di semua peringkat dipertingkat.
Beliau berkata, antara yang paling menonjol ialah kenyataan Presiden Filipina, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos yang menyeru agar lebih ramai wanita diberi tempat dalam perancangan dasar dan agenda pembangunan nasional, selain menekankan pentingnya kesaksamaan gender dalam sistem pentadbiran.
“Nada serupa turut disuarakan oleh pemimpin dari Vietnam dan Timor-Leste yang mahu pembabitan wanita serta generasi muda dijadikan komponen utama dalam strategi pembangunan jangka panjang ASEAN.
“Kita menerima mesej yang jelas dan kukuh daripada para pemimpin bahawa wanita dan anak muda tidak lagi boleh menjadi pemerhati dalam proses pembangunan. Mereka mesti menjadi penggerak utama,” katanya pada sidang akhbar AIPA di sini hari ini.
Johari yang juga Yang Di-Pertua Dewan Rakyat berkata, Malaysia sendiri menunjukkan perkembangan positif dengan penglibatan wanita yang tinggi dalam sektor perkhidmatan awam dan pendidikan, namun masih ketinggalan dari segi perwakilan politik.
“Lebih 50 peratus kakitangan sektor awam adalah wanita, begitu juga dalam sektor pendidikan. Tetapi dalam politik, kita masih jauh berbanding beberapa negara ASEAN lain.
“Malah, di kampus-kampus, populasi pelajar wanita jauh mengatasi pelajar lelaki.
“Ini adalah bidang yang kita mahu dorong agar penyertaan wanita muda menjadi lebih aktif dan memainkan peranan yang lebih besar,” jelasnya.
Tambah beliau, perancangan dasar negara dan rantau mesti melibatkan perspektif generasi muda agar ASEAN terus relevan dan berdaya saing dalam dunia yang semakin kompleks.
“Anak muda hari ini adalah pemimpin masa depan. Maka, segala perancangan kita, sama ada politik, ekonomi, sosial mahupun pendidikan, perlu mengambil kira harapan dan pandangan mereka,” tegasnya.
Johari berkata, AIPA turut menyambut baik agenda digitalisasi, perubahan iklim, keterjaminan makanan, inovasi dan kestabilan serantau yang diketengahkan pemimpin ASEAN dalam sesi tersebut.
“Selain itu, perlu diberi ruang kepada golongan muda sebagai persediaan menjadi pemimpin masa hadapan selaras dengan aspirasi generasi baharu,” katanya. – UTUSAN