Ahmad Shuffin juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025

Ahmad Shuffin juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025

joran
Para pemenang Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 bersama hadiah masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Ahmad Shuffin Roissuddin dari Kajang dinobatkan sebagai juara Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 selepas berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 15.815 kilogram di Tasik Permaisuri, Ahad lalu.
Kemenangan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM5,000, mengatasi hampir 600 peserta dalam pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.
Ahmad Shuffin, seorang penghantar makanan, menggunakan umpan roti berperisa pandan dan hanya mengambil masa lapan minit untuk mendaratkan ikan tersebut.
“Sudah lebih dua puluh tahun saya menyertai pertandingan memancing. Alhamdulillah, kali ini tuah menyebelahi saya. Wang kemenangan ini saya akan kongsikan bersama rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat selama ini.
“Saya sertai pertandingan ini sekadar suka-suka, tak sangka pula rezeki jadi juara,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan, serta Timbalan Pengarah Kanan, Izwan Razif Salehaped.
Tempat kedua dimenangi oleh Mahammad Shahzarul Aqil Mohd dari Seremban, Negeri Sembilan dengan tangkapan seberat 14.360 kilogram, membawa pulang RM2,000. Manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Faizlan Zallani yang menaikkan ikan seberat 13.840 kilogram, juga dari spesies patin, dan menerima RM1,000.
Pertandingan ini merupakan siri kedua Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Pekerja. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menghargai sumbangan para pekerja, termasuk komuniti kaki pancing.
Ini juga adalah selari dengan hasrat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang menggalakkan  penglibatan kerjasama sektor awam, swasta, rakyat dan rakan strategik.
Ini juga penting  untuk mewujudkan masyarakat warga kota kearah ‘Liveable & Loveable City’.
Para peserta turut merakamkan penghargaan kepada DBKL atas penganjuran pertandingan yang menyeronokkan serta memberi peluang warga kota menikmati aktiviti santai dan berfaedah sempena cuti umum Hari Pekerja.
Penyertaan pemancing dari pelbagai negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Selangor turut memeriahkan suasana. Acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah menjadi platform perpaduan komuniti bandar melalui gaya hidup sihat.
Siri ketiga Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 dijadual berlangsung di Tasik Metropolitan Kepong sempena sambutan Hari Kebangsaan akan datang. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya