Ahli perniagaan didakwa tipu jual haiwan liar bernilai RM68,000

Ahli perniagaan didakwa tipu jual haiwan liar bernilai RM68,000

 CHAN Kong San dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang berkaitan pemindahan tiga ekor haiwan liar dilindungi bernilai RM68,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Chan Kong San, 64, yang juga Pengarah Sentoria Themeparks and Resorts Sdn. Bhd., membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan, Chan didakwa memperdaya Pengarah Perhilitan Pahang ketika itu, dengan menyembunyikan fakta bahawa dua ekor singa putih (Panthera leo krugeri) dan seekor kucing Eurasian Lynx (Lynx lynx) yang sepatutnya dipindahkan secara serahan kepada Zoo Melaka, sebenarnya sudah dijual oleh syarikatnya dengan bayaran RM68,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perhilitan Negeri Pahang di sini pada 11 Mac 2021. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan dengan niat untuk mengelirukan pihak berkuasa supaya permohonan pemindahan haiwan dilindungi itu tidak dihalang, sedangkan ia bagi tujuan penjualan dan bukannya serahan seperti yang dinyatakan dalam permohonan bertulis.

Kong San didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari yang mencadangkan jaminan RM25,000 serta penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur setiap bulan.

Peguam bela, Datuk Bob S. Arumugam yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan antara RM10,000 hingga RM15,000 atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan perniagaannya kini merosot.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tertuduh juga dibenarkan membuat permohonan kepada mahkamah jika perlu menggunakan pasport.

Selain itu, mahkamah  memerintahkan tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Julai ini bagi serahan dokumen dan pengurusan kes selanjutnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN