SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memiliki dan memindahkan barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan serta tidak menyelenggara buku stok, tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Ahmad Nizamuddin Setapa, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Nizamuddin sebagai pemilik perniagaan sebuah syarikat yang memegang lesen borong barang berjadual minyak masak didapati melanggar Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak sebanyak 177,530 kilogram (kg) iaitu melebihi had 10 metrik tan.
Selain itu, Ahmad Nizamuddin berdepan dua lagi pertuduhan iaitu didapati memindahkan barang kawalan minyak masak berjumlah 3,400 kg yang terdapat di dalam muatan lori selain daripada alamat yang dinyatakan dalam lesen borong dan tidak menyelenggara buku stok.
Kesemua lima pertuduhan itu dilakukan di premis tanpa nama di kawasan perindustrian Nilai 7 di Nilai di sini pada 24 Ogos dan 23 Oktober 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22 (4) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan kesalahan kali kedua serta seterusnya didenda tidak lebih RM3 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd. Sanusi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes itu adalah serius melibatkan barang kawalan dan mengurangkan risiko tertuduh melarikan diri selain mengambil kira kepentingan awam.
Peguam Datuk Sukri Mohamed yang mewakili tertuduh dalam rayuannya berkata, akibat daripada kes tersebut perniagaan anak guamnya tidak dapat lagi beroperasi dan dia hilang mata pencarian.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi lima pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di KPDN Putrajaya setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi dan menetapkan tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 Jun depan. – UTUSAN