Agenda ASEAN berpaksikan rakyat

Agenda ASEAN berpaksikan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini menjadi medan untuk Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menyelaraskan agenda pembangunan komuniti rantau ini yang berpaksikan rakyat.

Pembangunan komuniti itu diinspirasikan selaras dengan agenda Malaysia Madani yang mempunyai enam nilai teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, fokus utama Malaysia adalah memastikan ASEAN kekal relevan dan responsif, selaras wawasan jangka panjang ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan.

“Perdana Menteri sering menegaskan, bahawa di Kepengerusian ASEAN tahun ini, Malaysia memikul tanggungjawab penting dalam membentuk hala tuju Komuniti ASEAN yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

“Tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bukan sekadar slogan, ia mencerminkan aspirasi kita untuk menjadikan ASEAN lebih rapat dengan rakyatnya dan bersedia menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN K-46 yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Tunku Nashrul berkata, hari ini merupakan detik penting dalam perjalanan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Katanya, kepimpinan Perdana Menteri akan menjadi tumpuan bukan sahaja dalam membentuk keputusan-keputusan utama sidang, tetapi juga dalam mempamerkan iltizam Malaysia terhadap keterangkuman, kemampanan dan kestabilan serantau.

“Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 ini menjadi medan untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Melalui kepengerusian ini, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti GCC dan China,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir AS$25 trilion dan populasi lebih dua bilion orang, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur yang mampan.

“Lebih daripada itu, penganjuran sidang berskala besar ini turut menyumbang manfaat langsung kepada ekonomi domestik khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN