PUTRAJAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini menyerahkan tajaan berjumlah RM100,000 kepada Koperasi LLM Berhad bagi menjayakan penganjuran ASEAN Cultural Night Run (ACNR 2025) pada 16 Ogos ini di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penganjuran program tersebut adalah sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di samping menyemarakkan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
“Tahun 2025 telah pun diiktiraf sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa, jadi kita hendak mengambil peluang ini untuk bersama-sama dengan Koperasi LLM menganjurkan acara larian ini.
“Bagi koperasi penganjuran acara seperti ini bukan lah kali pertama. Jika dilihat penyertaan sebelum ini hanya untuk rakyat Malaysia, tapi kali ini kita mahu tarik peserta dari ASEAN juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan simbolik penyerahan tajaan kepada Pengerusi Koperasi LLM Berhad, Datuk Idrus Mat Tais dengan disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di sini hari ini.
Acara ACNR 2025 yang akan diadakan di Jambatan Kedua Pulau Pinang itu bakal menghimpunkan penyertaan lebih 3,000 peserta termasuk warga koperasi dari seluruh Malaysia dan negara ASEAN.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) berkata, program tersebut juga adalah selaras dengan Prinsip Ketujuh Koperasi iaitu ‘Mengambil Berat terhadap Masyarakat’.
Katanya, koperasi tidak hanya berperanan dalam aspek ekonomi tetapi turut mengambil tanggungjawab sosial dengan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti melalui penganjuran aktiviti sihat.
Sementara itu, Idrus berkata, penganjuran ACNR 2025 pada waktu malam bakal memberi pengalaman unik kepada para peserta untuk menghayati keindahan panorama dari Jambatan Kedua Pulau Pinang yang ikonik dan tersergam indah.
Jelasnya, kategori larian bagi program tersebut terbahagi kepada ‘fun run’ sejauh lima kilometer (KM), manakala bagi acara larian kompetitif adalah 10KM dan 21KM dengan pendaftaran penyertaan masih lagi dibuka sehingga 30 Jun ini.
Menurut beliau, para peserta turut digalakkan untuk mengenakan pakaian tradisional ketika acara larian sebagai simbolik kepada keharmonian dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. – UTUSAN