PETALING JAYA : Ada segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup bersembunyi di ruang bumbung, bawah meja dan tandas hanya kerana tidak mahu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Tindakan itu dilakukan sebahagian PATI dalam serbuan di Pasar Moden SS15 di sini hari ini.
Bukan itu sahaja, semua mereka yang berkerja sebagai pembantu gerai makanan turut meninggalkan lauk-pauk di gerai masing-masing untuk melarikan diri.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pemeriksaan telah dilakukan terhadap 80 warga asing dari Indonesia, Myanmar dan India.
Kata beliau, daripada pemeriksaan berkenaan seramai 38 warga asing ditahan berusia 17 hingga 53 tahun.
“Ketika operasi dijalankan kebanyakan mereka sedang bekerja dan melarikan diri, ada yang bersembunyi di tandas dan bumbung,” katanya.
Beliau berkata, kesemua individu berkenaan dibawa ke depot tahanan Imigresen di Semenyih.
Sementara itu, dalam operasi sama, berlaku kekecohan apabila pemilik gerai tidak berpuas hati pekerja di gerainya ditahan pihak berkuasa.
Wanita berusia 60 tahun itu mengeluarkan kata-kata kesat kepada penguatkuasa Imigresen selain bertikam lidah mendakwa pegawai berkenaan kurang ajar. – UTUSAN