KUALA TERENGGANU: Sebanyak 76 peratus dalam kalangan penduduk dewasa Terengganu mengalami masalah berlebihan berat badan atau obesiti sejak 2023.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kadar obesiti yang dicatatkan di negeri ini meningkat lebih tinggi berbanding 60.8 peratus pada 2011.
Katanya, peningkatan tersebut lebih ketara berbanding kadar berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan dewasa di Malaysia sebanyak 70.1 peratus pada 2023 berbanding 60.5 peratus pada 2011.
“Antara punca peningkatan obesiti dalam kalangan penduduk di Terengganu adalah pengambilan gula berlebihan dalam makanan dan minum. Situasi tersebut merisaukan kerana menyumbang kepada peningkatan kes penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan darah tinggi,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Obesiti Agenda Negeri Terengganu Sihat 2025 di Batu Buruk di sini, hari ini.
Kasemani berkata, kadar berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan remaja di negeri ini kekal pada 29 peratus pada 2023 berbanding 2012.
“Ini bermakna seorang daripada tiga remaja di Terengganu didapati berlebihan berat badan dan obesiti,” ujarnya.
Katanya, dalam tempoh sama, kadar tersebut dalam kalangan remaja di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara iaitu 30.5 peratus pada 2022 berbanding 24.6 peratus pada 2012.
“Pemilihan air kosong berbanding minuman manis, pembacaan label makanan serta penyediaan makanan secara sihat adalah antara langkah kecil yang membawa perubahan besar,” katanya. – UTUSAN