Wajibkan pemeriksaan kesihatan cegah penjawat awam gemuk

Wajibkan pemeriksaan kesihatan cegah penjawat awam gemuk

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran mewajibkan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pemeriksaan itu perlu terutama bagi yang sudah menunjukkan tanda-tanda obesiti dan berada dalam lingkungan umur 40 tahun ke atas.

Menurutnya, program kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) boleh dilakukan untuk mengawal serta memantau kumpulan penjawat awam yang mempunyai masalah obesiti.

“Objektif khusus program ini adalah mengenal pasti kumpulan penjawat awam berisiko dan faktor kepada penyumbang masalah tersebut kemudian disusuli dengan merangka dan melaksanakan program intervensi.

“Setiap program intervensi yang dilaksanakan perlu dinilai keberkesanannya supaya mencapai objektif yang ditetapkan.

“Hanya peserta yang menunjukkan penurunan positif sahaja boleh dibebaskan daripada program intervensi yang dilaksanakan tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kembali ‘bermasalah,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, hampir 50 peratus penjawat awam mengalami masalah obesiti terutama di Putrajaya.

Oleh kerana itu, katanya, penjawat awam berkenaan digalakkan menjalankan pelbagai aktiviti sihat sebagai usaha memperoleh tahap kesihatan yang lebih baik.

Sebelum ini, laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan. Rekod itu meningkat tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.

GAYA HIDUP

Mengulas lanjut, Adnan berkata, masalah obesiti bukan sahaja melibatkan penjawat awam tetapi semua rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat.

“CUEPACS melihat masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam lebih kepada tabiat pemakanan dan juga gaya hidup individu tersebut. Untuk menangani obesiti secara berkesan sebenarnya datang daripada dalam diri kita sendiri.

“Jika kita perhatikan, sudah banyak program kesedaran kesihatan dibuat misalnya membabitkan media massa, selain kempen penerangan awam. Banyak juga maklumat pendidikan mengenai pemilihan makanan yang sihat dihebahkan,” katanya.

Beliau berkata, masalah kegemukan rakyat Malaysia perlu diambil perhatian lebih serius oleh semua pihak kerana perkara tersebut tidak sepatutnya dinormalisasikan.

Sehubungan itu, jelasnya, program sama perlu dilakukan oleh sektor swasta bagi menangani masalah obesiti dan memastikan golongan pekerja di Malaysia mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Tindakan bersama oleh majikan masing-masing boleh membantu mengurangkan masalah obesiti di Malaysia dengan lebih berkesan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN