KUALA LANGAT: Sejumlah 724 kes kenderaan barangan membawa lebih muatan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Op Paras dijalankan di Selangor, sejak 1 Mei lalu.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kesemua kesalahan ini dikesan daripada 143 buah kenderaan barangan yang diperiksa jabatan itu dalam tempoh berlangsungnya operasi berkenaan.
“Didapati kenderaan ini membawa 30 hingga 70 peratus lebih muatan yang sepatutnya mereka boleh bawa.
“Kebanyakan yang bawa lebih muatan ini adalah lori bawa pasir, batu, sisa kelapa sawit dan lain-lain lagi,” katanya selepas menyertai Op Paras di Plaza Tol Lebuhraya SKVE Saujana Putra di sini, hari ini.
Selain kesalahan itu, sebanyak 645 kenderaan barangan dikesan melakukan kesalahan membawa muatan secara berbahaya.
Menurutnya, hasil soal siasat ke atas pemandu-pemandu ini, mereka dipercayai mahu mengaut keuntungan berlebihan sehinga sanggup mengambil risiko membawa lori lebih muatan.
“Selain bawa lebih muatan, mereka juga kejar trip perjalanan untuk mendapat upah lebih. Perbuatan pemandu dan syarikat ini boleh membahayakan pengguna jalan raya lain,” tegasnya.
Justeru, Azrin memberikan amaran kepada pengendali kenderaan barangan ini supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya melanggar undang-undang.
“Kita telah menukar modus operandi (MO) yang mana anggota JPJ kini akan berpakai preman dan memandu kenderaan yang tiada logo jabatan bagi mengelak dikesan tonto.
“Sebanyak 23 kenderaan barangan telah disita dengan kesemua kenderaan ini disiasat di bawah Kaedah 89 dan Kaedah 92, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor, Pembinaan dan Penggunaan 1957 dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya. – UTUSAN