SHAH ALAM: Sebanyak 3,261 kes kebakaran terbuka direkodkan sepanjang tahun ini, sehingga 15 Mei lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, terdapat penurunan jumlah kes kebakaran terbuka pada tahun ini berbanding tahun lalu yang mana lebih 9,000 kes dicatatkan dalam tempoh sama.
“Kes yang paling banyak dicatatkan adalah kebakaran belukar dan lalang sebanyak 2,917 kes. Ia diikuti 229 kes kebakaran hutan dan 115 kes kebakaran kebun dan ladang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024, Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.
Menurutnya, sebanyak 572 lokasi di seluruh negara yang dikenal pasti sebagai titik panas (hot spot) sering berlakunya kebakaran terbuka.
Kata Nor Hisham justeru beliau telah mengarahkan semua balai bomba berada dalam keadaan sentiasa bersedia untuk bertindak pantas memadamkan kebakaran jenis itu.
“Saya melihat kesedaran orang awam berhubung pentingnya tidak membuat pembakaran terbuka semakin meningkat saban tahun. Sekali lagi, saya menyeru orang awam supaya tidak melakukan kebakaran terbuka, lebih-lebih ketika musim Monsun Barat Daya yang berlaku sekarang ini,” ujarnya.
Selain kesiapsiagaan anggotanya, Nor Hisham berkata, bomba turut bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seluruh negara bagi melakukan kerja pemadaman kebakaran kes itu. – UTUSAN