PUTRAJAYA: Tiga pegawai di dua institusi perbankan Kuala Lumpur ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat pengubahan wang haram serta rasuah membabitkan permohonan pinjaman lebih RM21 juta.
Tiga pegawai itu adalah melibatkan pengurus perniagaan, ketua jabatan dan pengurus cawangan.
Perintah reman selama lima hari sehingga 18 Mei ini terhadap kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab. Shukor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek disyaki secara bersama telah memiliki, mengubah, memindah dan menggunakan wang hasil bayaran rasuah yang diterima daripada tiga syarikat sekitar tahun 2024.
“Berdasarkan siasatan awal dijalankan, salah seorang suspek berjawatan ketua jabatan itu dipercayai telah meminta dan menerima wang rasuah lebih RM170,000 daripada tiga syarikat yang telah membuat lima permohonan pinjaman keseluruhannya berjumlah lebih RM21 juta.
“Wang rasuah ini sebagai balasan kerana memproses dan meluluskan pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh syarikat berkenaan,” katanya.
Sumber berkata, susulan itu, ketiga-tiga suspek ditahan sekitar pukul 4 hingga 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, susulan tangkapan itu juga, SPRM turut membekukan empat akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM268,000 selain menyita tiga unit peranti telekomunikasi dan sebuah komputer riba.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN