27 laporan kerosakan rumah ketika LIMA’25

27 laporan kerosakan rumah ketika LIMA’25

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Polis menerima sebanyak 27 laporan berkaitan kerosakan rumah penduduk kampung dipercayai akibat gegaran ketika pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis menjalankan siasatan ke atas semua laporan tersebut dan akan diserahkan kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.“Tiada kejadian seperti ini pada acara sebelum ini namun pihak polis menyiasat semua laporan tersebut. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat pemeriksaan dan setelah pengesahan dilakukan.

“Hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak penganjur, iaitu Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) untuk dibuat pengkategorian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Operasi Keselamatan dan Lalu Lintas sempena LIMA’25 di Pusat Latihan Polis Langkawi, di sini hari ini.

Beliau pada masa sama menasihatkan penduduk terlibat supaya mengemukakan laporan yang sahih dan tidak mengambil kesempatan di atas insiden berkenaan.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan rumah penduduk di Kampung Padang Wahid, di sini mengalami kerosakan dipercayai akibat gegaran berpunca latihan pertunjukan udara sempena LIMA’25 bermula 20 Mei lepas.

Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian mengambil maklum serta tidak akan mengabaikan dakwaan kerosakan rumah penduduk yang dikaitkan dengan penganjuran LIMA’25.

Dalam perkembangan lain kata Fisol, sebanyak 9,000 tempat letak kereta disediakan di sekitar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan 300 lagi di Resorts World Langkawi bagi kemudahan pengunjung ke LIMA’25 yang mula dibuka kepada orang awam bermula esok.

“Orang ramai yang hendak menyaksikan pertunjukan udara mahupun maritim esok dinasihatkan datang lebih awal bagi mendapatkan parkir. Saya juga difahamkan sebanyak 35,000 tiket dalam talian telah dijual dan saya rasa itu adalah jumlah yang besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN