PUTRAJAYA: Walaupun terdapat perbezaan tanda tangan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa dokumen termasuk salinan cek yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu, seorang pemeriksa forensik dokumen tidak dapat memberikan dapatan yang konklusif sama ada tandatangan itu adalah tulen atau sebaliknya.
Jelas saksi pembelaan ke-26, Tay Eue Kam, ini kerana dokumen yang dipertikaikan (questioned documents) dan dokumen yang dibandingkan (specimen documents) diberikan kepadanya untuk pemeriksaan adalah salinan fotostat.
“Apabila berurusan dengan dokumen yang telah dicetak semula, kita tidak boleh menolak kemungkinan berlakunya keadaan tandatangan disalin dan ditampal semula (lifted and pasted). Perlu dibandingkan dengan salinan asal.
“Saya tidak dapat membuat sebarang dapatan yang konklusif. Dapatan yang konklusif hanya boleh dibuat dengan pemeriksaan terhadap dokumen yang asal,” kata saksi berkenaan.
Tambahnya, bukan perkara yang mudah untuk membuktikan atau mengenal pasti bahawa pemalsuan (tandatangan) telah dilakukan.
Sebelum ini, pihak pembelaan menimbulkan dakwaan bahawa tandatangan Najib pada beberapa dokumen telah ditiru atau ‘ditampal’ ekoran terdapat perbezaan antara satu sama lain.
Antara dokumen berkenaan adalah berkaitan kelulusan pinjaman berjumlah AS$975 juta oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Deustche Bank Singapore.
Najib ketika membaca pernyataan saksi semasa membela diri turut mendakwa tandatangan dan tulisannya telah dipalsukan termasuk dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, ia merupakan kali pertama bekas Ahli Parlimen Pekan itu memanggil saksi pakar untuk menyokong dakwaan itu. Najib kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkenaan.
Terdahulu, Eue Kam menyatakan beliau telah diserahkan sebanyak tujuh dokumen yang dipertikaikan dan 31 dokumen untuk dibandingkan oleh firma guaman, Shafee & Co. untuk dianalisis pada 23 April 2025.
Laporan hasil pemeriksaan tersebut dibuat oleh saksi berkenaan pada 3 Mei lalu.
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan diteruskan esok dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Eue Kam. – UTUSAN