PETALING JAYA : Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa, rakyat Malaysia dijemput mengunjungi 19 muzium di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang akan dibuka secara percuma kepada orang ramai pada 18 Mei ini.
Langkah ini dilaksanakan bersempena tema sambutan tahun ini ‘Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas’ yang memberi fokus kepada peranan muzium dalam mendidik masyarakat dan memperkukuh hubungan komuniti menerusi warisan sejarah.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kemasukan percuma itu menjadi titik pertemuan antara warisan silam dan aspirasi masa depan serta menghubungkan komuniti atas semangat perpaduan dan kecintaan terhadap sejarah.
“Antara yang terlibat termasuk Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Seni Kraf Orang Asli, Muzium Tekstil Negara, Muzium Seni Bina Malaysia, Muzium Adat serta Muzium Muzik.
“Pembukaan percuma ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menyelami kekayaan sejarah, kepelbagaian budaya serta semangat perpaduan yang menjadi teras identiti negara kita,”, katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, turut dibuka ialah Muzium Perak, Muzium Matang, Muzium Kota Kayang, Muzium Kota Kuala Kedah, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Muzium Sungai Lembing, serta Muzium Lukut.
“Di Labuan pula, orang ramai boleh mengunjungi Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan dan Muzium Chimney, manakala di selatan tanah air, Muzium Kota Johor Lama dan Muzium Automobil Nasional turut mengambil bahagian,” katanya.
Hari Muzium Antarabangsa disambut setiap 18 Mei di seluruh dunia, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya peranan muzium dalam pembangunan masyarakat yang inklusif dan berdaya tahan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi JMM dan platform media sosial mereka. – UTUSAN