KEMAMAN: Operasi memadam kebakaran hutan di Kampung Mak Chili Paya, di sini, masih berbaki kira-kira tujuh hektar selepas 11 hektar kawasan yang terbakar dipadamkan pasukan penyelamat sejak empat hari lalu.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, usaha memadam kebakaran itu diganda melibatkan 39 anggota daripada Zon 2 termasuk lapan buah balai bomba.
“Kekuatan anggota bomba ditingkatkan sehingga 39 anggota berbanding semalam hanya 19 anggota sejak kita menerima panggilan kecemasan pada Rabu lalu.
“Operasi pemadaman berdepan sedikit kesukaran berikutan akses masuk ke lokasi agak jauh iaitu kira-kira dua kilometer dari laluan utama,” katanya di lokasi kejadian.
Rohaya berkata, cuaca panas dan berangin juga menyebabkan berlaku kebakaran berulang di beberapa kawasan yang telah dipadamkan sebelum ini.
Menurutnya, selain anggota bomba dan penyelamat, operasi itu turut dibantu polis, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
“Selain menggunakan semburan air, kira dibantu sebuah jentolak. Kebakaran masih dalam keadaan terkawal dan pasukan penyelamat sedang berusaha memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN