PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendaftarkan seramai 1,098 orang mualaf setakat Mei tahun ini berbanding hanya 968 orang pada tahun 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, bagi tahun ini juga jumlah agihan bantuan adalah sebanyak RM9.3 juta merangkumi kluster Kebajikan, Pendidikan, Perlindungan, Ekonomi, Perubatan dan Sosial.
“Agensi-agensi agama sentiasa bersedia untuk menyantuni dan membantu para mualaf serta golongan asnaf yang berada dalam kesulitan. Kita tidak akan membiarkan mereka menghadapi cabaran hidup ini bersendirian.
“Saya menyeru agar semua saudara baharu berurusan terus dengan kaunter zakat, pejabat agama atau institusi sah.
“Akhir sekali, saya menyeru kepada agensi zakat, masjid dan para pegawai agama agar sentiasa bersedia dan cakna dengan keperluan mualaf. Kita mesti memastikan mereka sentiasa disantuni, bukan dibiarkan berseorangan dalam meniti kehidupan baru mereka,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Na’im turut menegaskan saudara baharu atau mualaf di negara ini tidak pernah dipinggirkan.
“Pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh institusi agama khususnya MAIWP antaranya bantuan kewangan bulanan maksimum RM500 hingga RM1000 sebulan, Bantuan Keperluan Asasi (Boost) RM300 sebulan serta bantuan deposit dan sewa rumah bulanan dengan deposit maksimum RM3,000 one-off dan sewa maksimum RM1,000 sebulan,” katanya.-UTUSAN