100,000 rumah mampu milik menjelang 2030

100,000 rumah mampu milik menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menubuhkan Taskforce Perumahan Daerah bagi mengenal pasti lokasi dan penilaian tanah bagi membina 100,000 unit rumah mampu milik untuk golongan B40 dan M40 menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu sebagai penyelesaian holistik dan mampan terhadap isu perumahan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 30,000 unit sedang dibangun bagi fasa pertama bermula 2022 hingga 2026.

“Hari ini kita mengorak langkah untuk menjayakan sasaran tambahan 70,000 unit baharu bagi fasa kedua (2027–2030) yang menuntut tindakan bersepadu dan kerjasama semua pihak bermula sekarang.

“Kita tekankan pembangunan atas tanah kerajaan bersaiz kecil seperti “pocket land”, tanah rizab jabatan serta penempatan semula kawasan setinggan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Perumahan Negeri Johor di Bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini.

Mohd. Jafni berkata, pelan tindakan fasa kedua melibatkan produk RMMJ, Rumah Kasih Johor (RKJ), Rumah Prihatin Johor (RPJ), termasuk produk inovatif seperti unit sewaan dan lot rumah bawah RM300,000.

Katanya, kerjasama rapat antara Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Pejabat Daerah dengan agensi berkaitan amat penting bagi mempercepatkan proses kelulusan projek dan penyediaan dokumen teknikal.

“Kita juga membuka ruang kerjasama strategik dengan sektor swasta melalui model perkongsian awam-swasta (PPP) sambil menawarkan insentif seperti pengecualian caj pihak berkuasa tempatan (PBT) dan subsidi tanah untuk memastikan harga kekal mampu milik.

“Penilaian pasaran, model kewangan serta permintaan tempatan akan terus diteliti bagi memastikan setiap unit dibina benar-benar mengisi keperluan sebenar rakyat,” kata beliau.

Sebagai langkah pemantauan, kerajaan negeri akan mewujudkan dashboard prestasi di setiap daerah dengan laporan berkala kepada Exco kerajaan negeri dan Menteri Besar Johor.

“Hala tuju baharu turut digariskan termasuk pembangunan konsep “Rent-to-Own”, co-living, dan rumah transit bagi memenuhi keperluan belia, keluarga muda dan penjawat awam khususnya di kawasan strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan IIBD (Ibrahim International Business District).

“Saya akan pastikan setiap inci tanah yang berpotensi akan dibangunkan untuk rakyat. Kita mesti membina bukan sahaja bangunan, tetapi membina harapan, keyakinan dan masa depan generasi Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN