KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu mengaku bersalah di enam Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Kesemua tertuduh yang berusia 55 hingga 69 tahun itu membuat pengakuan salah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Prosiding dijalankan di hadapan Majistret-Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Illi Marisqa Khalizan, MS Arunjothy, Aina Azahra Arifin, Farah Nabihah Muhamad Dan dan S. Mageswary.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang antaranya bekerja sendiri dan kontraktor, didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan borang daftar lahir di kaunter JPN di sekitar ibu negara.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh 12 bulan atau kedua-duanya.
Selain itu, dua tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu memohon kad pengenalan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dengan menggunakan sijil kelahiran yang mengandungi maklumat palsu.
Kesalahan itu didakwa di bawah Perkara 25(1) (b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda kepada semua tertuduh sebanyak RM700 sehingga RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Gagal membayar denda tersebut, kesemua tertuduh boleh dipenjara di antara dua minggu hingga empat bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh sembilan pegawai pendakwa iaitu Mohd Khairul Afizi Yusof, Zulkarnain Ahmad, Md Shahedan Md Taib, Mazrul Azli Matrus, Tengku Hazmi Taqiuddin, Nor Zarina Zakaria, Nurul Nadiah Zainal Abidin, Mohd Ramzi Adnan dan Arief Khairee Khairuddin manakala beberapa tertuduh diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – UTUSAN