Beri remaja peluang selami dunia buku mereka - Ain Maisarah

Beri remaja peluang selami dunia buku mereka – Ain Maisarah

AIN MAISARAH menunjukkan buku-buku yang bakal diterbitkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025-MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penulisan buku-buku novel dewasa seperti yang diusahakan oleh Ain Maisarah Daliman mungkin perkara biasa dalam dunia penulisan. Banyak penulis berbakat menghasilkan karya-karya yang menarik dan banyak juga telah diadaptasi menjadi drama di kaca televisyen.

Namun begitu, penulisan buku tidak hanya tertumpu kepada golongan dewasa sahaja, malah di setiap peringkat umur juga mampu untuk menulis sekiranya mereka mempunyai minat dan berbakat.

Penulisan buku remaja perlu diperbanyakkan disebabkan minat golongan remaja membaca kini semakin meningkat. Minat tersebut sepatutnya menjadi faktor kepada peningkatan karya penulisan buku remaja tidak hanya buku novel dewasa.

Perjalanan penulis buku remaja terkenal Ain Maisarah atau mesra disapa Ain dalam bidang penulisan buku remaja sudah memasuki 20 tahun pada tahun ini, selepas bermula pada tahun 2005 dengan menulis e-buku terlebih dahulu.

Karya penulisannya mendapat perhatian daripada syarikat penerbitan PTS Media Group Sdn. Bhd. (PTS) dan berjaya menerbitkan buku pertamanya bertajuk Aku Mahu Popular.

Ain Maisarah berkongsi rasa syukurnya apabila mendapat tahu 3,000 naskhah sudah habis terjual dalam tempoh kurang daripada tiga bulan dan syarikat penerbitan itu memintanya untuk memperbanyakkan lagi buku-buku remaja.

Baginya, untuk menjadi seorang penulis, mereka perlu tahu niat awal mereka.

Langkah pertama bagi sesiapa yang mahu menulis, tidak kira genre atau sasaran pembaca, adalah bertanya kepada diri sendiri, “Kenapa aku menulis? Adakah untuk terkenal? Untuk pendapatan? Untuk kepuasan diri?”

“Jika anda menulis bukan kerana pendapatan, maka bersedialah untuk berkongsi karya anda secara percuma. Jangan terlalu memikirkan soal royalti.

“Jika anda menulis bukan kerana nama, maka mungkin jalan anda adalah sebagai ghostwriter iaitu penulis bayangan yang tidak dikenali. Ia bukan jalan glamor, tetapi masih membawa makna besar.

“Bagi saya sendiri, niat saya menulis adalah untuk membuktikan bahawa industri buku itu hebat dan penting.

“Saya mahu generasi akan datang tahu bahawa menjadi penulis juga satu kerjaya yang boleh dibanggakan. Apabila niat itu jelas, gerak kerja kita juga akan jadi berbeza. Kita akan bekerja lebih keras, dengan semangat yang datang dari hati bukan semata-mata kerana keuntungan, tetapi kerana misi.

“Jadi, apa pun bentuk tulisan anda, mula dengan niat yang betul. Daripada situlah akan lahir semangat yang tidak mudah padam, dan penulisan yang membawa kesan,” katanya.

Bagi Ain, golongan kanak-kanak dan remaja semakin ramai yang suka membaca akan tetapi sikap ibu bapa yang cepat menilai itu menyukarkan anak mereka untuk membuat pilihan bukunya sendiri.

“Masalah kita adalah kadang-kadang ibu bapa judge a book by its cover. Nampak macam gelap, cerita hantu apa ini? Jadi, mereka terus matikan minat membaca. Jangan baca buku macam ini.

Baca kamus, baca ensiklopedia, baca buku pelajaran.

“Beri peluang untuk remaja memilih buku dia sendiri. Dia akan jadi seorang pembaca tegar dan apabila dia meningkat usia, dia akan ikut sama membaca mula komik, lepas itu novel-novel.

Kemudian dia akan baca buku-buku yang berilmiah, motivasi diri. Dia akan melalui proses itu secara automatik sendiri. Kita tak payah paksa sebab dia dah suka buku,” jelasnya.

Dalam pada itu, setiap penulis sentiasa mempunyai cara dan inspirasi mereka tersendiri untuk memastikan idea mereka sentiasa ada dan mempunyai jalan cerita yang bagus.

Ain yang juga merupakan pengasas Blink Book, mengikuti perkembangan terkini dan mengetahui apa yang remaja suka menjadi salah satu cara dia menghasilkan karya-karya yang menarik dan menjadi sumber ilham mereka.

“Kami bekerja dalam satu kelompok yang dinamik dan saling menyokong. Saya amat bersyukur kerana mempunyai seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) yang tegas, yang saya ibaratkan seperti guru disiplin. Beliau sentiasa memastikan kami menulis dengan fokus, berlandaskan realiti dan trend semasa.

“Satu perkara yang ditekankan oleh beliau ialah supaya kami tidak menjadi penulis yang “syok sendiri” iaitu menulis hanya berdasarkan emosi dan kehendak peribadi. Sebaliknya, kami digalakkan untuk mendekati realiti pembaca, apa yang mereka suka?

“Kami ada satu konsep yang kita panggil tiruvasi iaitu singkatan tiru dan inovasi. Mengambil contoh Squid Game, satu dunia memperkatakan tentang filem itu.

“Jadi, kita nampak konsep tersebut iaitu satu permainan tradisional Korea yang ada habuan iaitu wang berjuta-juta. Jadi, kita tiru dan inovasikan. Jika berlaku di Malaysia, kisahnya permainan tradisional Malaysia seperti congkak, ting-ting, wau dan semua itu.

“Dengan pendekatan itu, kami menulis bukan semata-mata untuk berkarya, tetapi untuk berhubung dengan jiwa pembaca.

“Menulis bukan hanya soal bakat, tetapi juga soal nilai, pengaruh sekeliling, dan kepekaan terhadap masyarakat. Apabila penulisan dibina atas asas yang betul, barulah karya itu mampu bertahan dan memberi kesan jangka panjang,” katanya.

Berkongsi tips dan cara penulisan yang berkualiti, Ain Maisarah sentiasa mengamalkan tiga syarat dalam setiap karyanya dan digalakkan untuk dijadikan contoh kepada penulis remaja.

Salah satu syarat utama yang ditetapkan oleh syarikat penerbitan PTS Media Group Sdn Bhd. (PTS) kepada para penulisnya adalah penggunaan bahasa Melayu tinggi. Ini bukan sahaja untuk memastikan kualiti bahasa dalam penerbitan, tetapi juga sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam industri buku popular.

Selain itu, PTS turut menetapkan sesebuah karya itu mestilah berunsur penceritaan atau naratif, dan bukan sekadar penyampaian fakta semata-mata. Gaya pengacaraan ini menjadikan isi kandungan lebih mudah dihayati dan dekat dengan pembaca pelbagai peringkat umur.

Namun begitu, nilai teras yang paling penting dalam penulisannya adalah penekanan kepada kepatuhan syariah. Setiap karya yang diterbitkan perlu menepati garis panduan Islam, termasuk tidak memaparkan adegan atau interaksi yang bertentangan dengan prinsip syariah.

Contohnya, tiada adegan lelaki dan perempuan berdua-duaan tanpa keperluan yang wajar dalam sesebuah babak.

Ain Maisarah berkongsi antara cabaran yang dilaluinya dahulu adalah penerimaan keluarga terhadap minat dan kerjayanya.

“Saya masih ingat detik itu dengan jelas. Waktu itu saya sedang bersiap untuk menghadapi peperiksaan, daripada tingkatan empat hendak naik ke tingkatan lima, di tangan saya, ada sebuah buku ulang kaji subjek Kimia tapi di belakang buku itu saya selitkan sebuah novel.

“Tiba-tiba emak lalu di belakang dan ternampak buku itu dan bertanya, “Aih, baca novel? Nak jadi apa kalau asyik baca buku macam ini? Patutnya baca buku pelajaran.” Kemudian, buku itu dibakar.

“Kata-kata emak, Nak jadi apa ini?, terkesan dalam hati saya. Tapi siapa sangka, tercetus satu realiti yang menjadikan hidup saya hari ini menjadi seorang pembaca, penulis, dan kini bekerja sepenuh masa dalam dunia perbukuan. Sesuatu yang langsung saya tidak jangka ketika itu,” katanya.

Kongsi Ain, keluarganya berlatarbelakangkan pencapaian akademik seperti doktor perubatan, pensyarah PhD dan lain-lain. Beliau sahaja yang menentang arus.

Namun, tekanan itulah yang menyemarakkan semangatnya untuk membuktikan bahawa walaupun kerjaya ini tidak konvensional, ia tetap bermakna.

“Saya tidak sekadar bekerja, saya hidup dalam dunia buku. Setiap hari saya menulis, membaca, menyunting, menerbit. Ini bukan sekadar kerja, ini minat yang menjadi hidup.

“Apabila berhadapan dengan keluarga yang melihat kejayaan hanya dari sudut akademik dan pekerjaan konvensional, saya tahu saya perlu bekerja lebih keras.

“Itulah sebabnya sejak 2006, saya tidak pernah berhenti. Saya terus ‘berlari’ dan menulis, menerbit, mengembangkan dunia buku. Kini sudah hampir 20 tahun, dan saya masih belum berhenti,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×