Zoo Negara dijadual terima panda baharu pada Ogos 2025

Zoo Negara dijadual terima panda baharu pada Ogos 2025

GELAGAT panda gergasi, Liang Liang (bawah) bersama anaknya, Sheng-Yidi Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Zoo Negara akan menambah baik fasiliti Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) sebagai persediaan untuk menerima pasangan Giant Panda baharu yang dijadualkan pada Ogos ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan,  Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda dengan China diteruskan melalui pemeteraian perjanjian baharu pada 16 April lalu bersempena dengan Lawatan Negara Presiden China ke Malaysia. 

Katanya, pemeteraian perjanjian baharu ini membolehkan Malaysia menerima pasangan Giant Panda baharu bagi tempoh 10 tahun mulai 2025 hingga 2035.

“Kerjasama Giant Panda merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dan Republik China dalam memupuk diplomasi konservasi. la juga manifestasi nilai Malaysia Madani iaitu kelestarian, ihsan dan kerjasama demi alam sekitar dan masa depan bersama yang lebih sejahtera,” kata kenyataan itu hari ini.

Katanya, pasangan Giant Panda sedia ada iaitu Fu Wa dan Feng Yi yang ditempatkan di PKGP Zoo Negara akan dihantar pulang ke China pada Mei ini.

Katanya, sebelum ini tiga ekor anak Giant Panda daripada pasangan tersebut iaitu Nuan Nuan telah dihantar pulang  pada 14 November 2017 manakala Yi Yi dan Sheng Yi pada

29 Ogos 2023.

“Sebagai persediaan, Fu Wa dan Feng Yi akan menjalani proses kuarantin mulai 18 April 2025 di PKGP untuk memastikan tahap kesihatan berada pada tahap terbaik, memenuhi keperluan permit di bawah perundangan antarabangsa serta latihan sangkar (untuk membiasakan diri bagi penerbangan dari Malaysia ke China).

“Sepanjang tempoh kuarantin, pengunjung tidak lagi boleh melihat Fu Wa dan Feng Yi secara dekat tetapi masih berpeluang untuk melihat mereka daripada pusat pembelajaran PKGP pada masa tertentu.

“Zoo Negara juga telah merancang pelbagai program sepanjang tempoh kuarantin bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk meraikan Fu Wa dan Feng Yi yang telah berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014. Ini termasuk menyediakan Papan Ucapan Perpisahan, sesi bersama penjaga Giant Panda, tayangan dokumentari serta pertandingan menulis dan melukis,” katanya.

Oleh itu, pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai program-program tersebut melalui laman sesawang dan platform media sosial Zoo Negara.

“Rakyat Malaysia digalakkan untuk mengambil peluang mengunjungi Zoo Negara bagi sama-sama menunjukkan penghargaan kepada Fu Wa dan Feng Yi serta memeriahkan program-program yang dianjurkan oleh Zoo Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN