PETALING JAYA: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) hari ini mengumumkan pelaksanaan inisiatif liberalisasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di sepanjang koridor kereta api miliknya, sebagai langkah strategik untuk menyokong agenda transformasi digital negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia bertujuan bagi membuka akses kepada pemain-pemain industri telekomunikasi berlesen melalui proses Request for Proposal (RFP), sekali gus mengoptimumkan penggunaan aset rel nasional bagi pembangunan rangkaian fiber optik berkelajuan tinggi.
Melalui inisiatif ini juga, YTL Communications Sdn. Bhd. telah diumumkan sebagai syarikat pertama yang berjaya dalam proses RFP yang dikeluarkan oleh RAC pada tahun 2023 untuk membangunkan infrastruktur fiber optik di sepanjang 1,600 kilometer jajaran rel dari Padang Besar ke Johor Bahru dan Tumpat di Kelantan.
“Kerajaan yakin bahawa dengan membuka akses kepada lebih ramai penyedia perkhidmatan melalui koridor rel ini, ia akan meningkatkan persaingan sihat, memperluas liputan digital dan mengurangkan kos kepada rakyat, ini bukan sahaja soal infrastruktur,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Hari Terbuka RAC 2025, di Putrajaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan YTL Communications Sdn. Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong dan Pengarah YTL Sdn Bhd, Yeoh Keong Ren.
Jelas Yeoh, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan RAC untuk menjadikan koridor rel sebagai pemacu keterangkuman digital negara.
“Inisiatif ini merupakan langkah penting untuk membuka lebih banyak akses kepada internet berkelajuan tinggi demi manfaat rakyat, sekaligus merapatkan jurang digital dan memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengakses dunia digital yang berkembang pesat. Ini sejajar dengan aspirasi untuk mencapai Malaysia yang lebih digital, inklusif dan mampan demi manfaat generasi hari ini dan masa depan,” katanya.
Koridor ini merupakan laluan strategik yang merentasi kawasan dan bandar utama, zon industri dan kawasan berpenduduk padat menjadikannya tulang belakang kepada sambungan digital negara, seiring dengan inisiatif Pelan Jalur Lebar Negara dan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Dalam masa yang sama, RAC turut menegaskan pelaksanaan inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskanhak eksklusif sedia ada yang dipegang oleh Fiberail Sdn. Bhd. (FSB) menerusi Wayleave Agreement bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berkuatkuasa sehingga tahun 2032.
“Semua pembangunan baharu akan dilakukan melalui rundingan teknikal bersama, tanpa gangguan kepada infrastruktur sedia ada. RAC komited untuk memastikan pelaksanaan ini mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani, dan dalam masa yang sama membuka pasaran secara lebih telus dan inklusif,” ujarnya lagi. – UTUSAN