PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu cubaan penipuan membabitkan penggunaan nama dan gambar Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi emel palsu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, emel berkenaan bertajuk “Polis Negara Malaysia” dan dihantar daripada alamat [email protected].
“Kandungan emel itu meminta penerima supaya segera memberikan maklum balas kepada penghantar atau berdepan tindakan undang-undang.
“Emel itu direka seolah-olah dihantar oleh Ketua Polis Negara dan turut memaparkan gambar Tan Sri Razarudin Husain bagi meyakinkan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, kandungan emel itu adalah tidak benar dan merupakan satu cubaan penipuan yang serius.
“Orang ramai yang menerima emel seperti itu dinasihatkan supaya tidak panik dan segera membuat laporan di balai polis berhampiran bagi mengelakkan menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN