Warga Nigeria keluarkan parang ketika pemeriksaan Imigresen

Warga Nigeria keluarkan parang ketika pemeriksaan Imigresen

JAFRI Embok Taha (duduk) menyoal siasat lelaki warga Nigeria yang membawa parang ketika operasi di sebuah restoran di Desa Palma Nilai, Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kononnya ingin memetik serai di kawasan kediaman rakannya, seorang lelaki warga asing ditahan selepas dilihat mencurigakan membawa sebilah parang ketika serbuan dijalankan Jabatan Imigresen di sebuah restoran sekitar Desa Palma Nilai di sini, malam tadi.

Dalam operasi bermula pukul 8.30 malam itu, lelaki warga Nigeria berusia 20-an terbabit pada mulanya dihampiri anggota penguat kuasa yang mahu melakukan pemeriksaan terhadapnya, namun dia cuba melarikan diri dan mengeluarkan senjata tajam berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, hasil siasatan lanjut ke atas lelaki dari Nilai Spring itu mendapati, tiada dokumen perjalanan sah bersamanya dan siasatan lanjut akan dilaksanakan atas kesalahan membawa senjata.

Katanya, lelaki itu merupakan antara 260 warga asing yang diperiksa dalam operasi kali ini di tiga lokasi serbuan melibatkan tempat tinggal dan medan perniagaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 49 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen yang terdiri daripada 44 lelaki dewasa dan lima wanita dewasa dengan kesemuanya berusia 20 hingga 60 tahun.

“Berdasarkan pecahan enam orang merupakan warga Indonesia, Bangladesh (tujuh), Myanmar (14), Nepal (empat), India (sembilan), Pakistan (lima), Nigeria (dua) dan Yaman (dua),” katanya ketika ditemui.

Jafri berkata, pihaknya mendapati terdapat segelintir warga asing yang telah berkahwin dengan warga tempatan dan membuka perniagaan.

“Terdapat juga pemilik rumah menyewakan rumah kepada warga asing menyebabkan kawasan sekitar dipenuhi lambakan warga asing dan juga premis tersebut dianggarkan dihuni seramai lima hingga 10 orang,” jelasnya.

Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tidak mempunyai sebarang pas dan dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 serta telah tinggal lebih masa di negara ini di bawah Seksyen 15 (1) (c) akta sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya