BUTTERWORTH: Seorang wanita tempatan yang disyaki mencuri sebuah beg di pejabat bomba sukarela, Jalan Pantai Bersih, Bagan Ajam di sini pada Ahad lalu kini telah ditahan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden C. Tharmalingam berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian itu, kelmarin.
Katanya, berdasarkan siasatan awal termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, suspek yang menunggang motosikal itu telah memasuki pejabat terbabit dan mengambil beg sandang milik pengadu yang sedang tidur sebelum melarikan diri.
“Suspek kemudian berjaya ditahan tidak lama selepas itu. Ujian saringan air kencing terhadap wanita itu bagaimanapun mendapati, dia negatif daripada pengaruh dadah selain tidak memiliki sebarang kesalahan lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi tiga minit 19 saat di media sosial yang memaparkan mengenai satu kejadian curi beg di pejabat bomba sukarela di Bagan Ajam.
Dalam rakaman tersebut, wanita yang menunggang motosikal secara sendirian itu dilihat memasuki pejabat terbabit dan mengambil beg sandang milik seorang lelaki yang sedang tidur di atas sofa.
Sementara itu, Tharmalingam berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nike Carlsdeon Anak Tony Enggang di talian 04-576 2222 sambungan 2275 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN