KULIM: Seorang wanita cedera selepas bergelut dengan seorang lelaki yang cuba meragutnya dalam kejadian di Taman Kota Kenari, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, mangsa berusia 39 tahun yang berkerja sebagai kerani luka di kedua-dua lutut, pipi sebelah kiri dan tangan sebelah kiri namun tidak mengalami sebarang kerugian.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di bahagian dapur rumah bersama ibunya serta seorang rakan perempuan.
Katanya, secara tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki tidak dikenali di lorong belakang rumah mangsa.
“Ketika kejadian rakan mangsa yang berada berdekatan pintu dapur telah masuk ke dalam rumah dalam keadaan tergesa-gesa dan diikuti oleh seorang suspek yang memakai topi keledar yang bertindak cuba meragut rantai dileher rakannya.
“Wanita itu cuba menghalang dengan menolak suspek keluar daripada rumahnya namun suspek turut cuba menarik rantai di leher mangsa hingga putus tetapi tidak berjaya,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Zulkifli, berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa di mana lelaki itu menarik rambut mangsa sehingga ke luar rumah sebelum mangsa terjatuh di atas jalan sehingga tercedera.
Katanya, ketika itu seorang lagi suspek berada di luar rumah dipercayai rakan suspek bersedia di atas motosikal jenis Yamaha Y15 yang nombor pendaftaran tidak ketahui.
“Kedua-dua suspek sempat melarikan diri dengan menaiki motosikal selepas beberapa jiran mangsa datang membantu dan mangsa tidak mengenali kedua-dua mereka kerana suspek memakai topi keledar dengan penutup muka.
“Bentuk fizikal suspek kurus serta tinggi lebih kurang 160 sentimeter. Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian itu di luar bahagian belakang rumah mangsa,” katanya.
Rakaman itu turut menunjukkan pergerakkan sebuah motosikal yang dinaiki suspek melalui lorong belakang rumah mangsa serta kejadian yang berlaku. – UTUSAN